KUALA LUMPUR, 29 September –Kumpulan muzik legenda popular sejak era 1970-an, Blues Gang yang masih ‘berbisa’ menerusi lagu seperti “Apo Nak Di Kato” dan “Mama Saya Mahu Kahwin” bakal beraksi menghangatkan malam minggu anda.
Bersiaran dari pentas Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kota Media, disini program hiburan santai terbitan Unit Hiburan TV RTM - “HMI, Hiburan Minggu Ini: Blues” akan menemui penonton, esok (30 September 2023) pukul 9.00 malam.
Bersiaran secara langsung menerusi saluran TV2 dan penstriman langsung di RTMKlik (rtmklik.rtm.gov.my), siaran ini pasti tidak akan mengecewakan penggemar lagu-lagu irama blues yang sentiasa mendapat tempat dalam kalangan pendengar sepanjang zaman.
RTM selaku penganjur berharap hiburan santai ini dapat mengimbau kembali zaman kegemilangan genre lagu-lagu malar segar yang pasti mempunyai peminat tersendiri dan pada masa sama dapat memperkenalkan irama blues kepada generasi masa kini.
Selain Blues Gang, artis popular lain yang bakal membuat penampilan istimewa termasuklah Jo Branko, Tom, Ilham (Pitahati), Khir Rahman dan pemain dram wanita berbakat besar, Nur Amira Syahira.
“HMI, Hiburan Minggu Ini: Blues” akan bersiaran selama satu jam setengah.
Bagi memeriahkan program, orang ramai boleh bersama-sama menonton secara langsung dari Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kota Media. Masuk adalah percuma.
Blues Gang merayakan ulang tahun ke 50 band ditubuhkan kini diterajui Shah Shariff (bass),
Munir (dram), Kit (gitar), Tok Ghani (keyboard), Ito (vokal/blues harp) dan
Julian Mokhtar (gitar)/Foto FB Blues Gang)