ISKANDAR PUTERI, 25 November- Setelah hampir lebih empat tahun tidak dapat beraksi di Singapura akibat pandemik COVID- 19, penyanyi tersohor negara, Datuk Francissca Peter akan kembali ke republik itu, pada tahun hadapan, untuk persembahan konsert.
Peluang tersebut secara tidak langsung, dapat mengubat rindu pelantun 'Sekadar Di Pinggiran' itu untuk beraksi buat peminatnya di Singapura.
Menurut Francissca, beliau sebelum ini banyak menerima jemputan untuk membuat persembahan di negara jiran itu , namun terpaksa menolak kerana bertembung dengan persembahan lain.
Selain itu, beliau turut merancang menghasilkan lagu single baru pada tahun hadapan, selepas mengeluarkan lagu raya pertama beliau, Maaf Ku Pinta, pada April lalu.
"Tahun depan dah ada beberapa 'show' juga, dan saya nak tunggu juga untuk single baru sebab sekarang ini semua buat single kan, walaupun saya lebih suka buat album," katanya selepas membuat persembahan di Majlis Makan Malam Amal Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor di sini, malam tadi.
Francissca juga berharap untuk menganjurkan konsert berskala besar, khas buat peminat beliau di Singapura.