JAKARTA, 29 Jun- Band dari Indonesia, Fourtwnty bakal menyapa Malaysia sekali lagi dengan konsert solo mereka, ‘MyAcasà’ pada tahun ini.
Konsert yang akan diadakan pada 9 November depan di Megastar Arena, Kuala Lumpur itu bertujuan untuk mengubat kerinduan peminat yang ingin menyaksikan band indie tersebut secara langsung.
Fourtwnty yang terdiri daripada Ari Lesmana, Andika Dwi Putra, Agung Gunarsa, Primanda Ridho, Ryan Maulana, dan Asep Nurohman itu akan membawakan tema ismewa iaitu MyAcasà.
Tema tersebut menggabungkan ‘My’ daripada perkataan bahasa Inggeris, yang bermaksud ‘milik’. Dalam konteks ini, ‘My’ secara simbolik mewakili ‘Malaysia’ yang mengundang kehangatan dan keserasian dengan harapan untuk merapatkan hubungan negara kita seper sebuah keluarga.
Sementara itu, Acasà, yang bermaksud ‘rumah’ dalam bahasa Romania, adalah tempat keselesaan, kehangatan, dan kedamaian. Menerusi pemilihan tema ini, Fourtwnty ingin membangkitkan perasaan tersebut semasa konsert.
"Konsert ini bertujuan untuk mewujudkan suasana kekeluargaan dalam kalangan penonton, penganjur, dan seluruh pasukan serta kru yang terlibat.
“Pada dasarnya, ‘MyAcasà’ membawa makna kerinduan bersama antara Fourtwnty dan peminat kami, sebuah pertemuan semula selepas perpisahan yang lama.
‘Myacasà’ melambangkan keselesaan bersama, kehangatan keluarga, dan perasaan pulang ke rumah. Kita akan menikmati konsert ini dalam suasana kekeluargaan, dikelilingi oleh kawan-kawan, keluarga, dan orang-orang tersayang,” kata Ari Lesmana, vokalis Fourtwnty.
Kali ini, Fourtwnty akan bekerjasama dengan Nusantaiment untuk menghadiahkan pengalaman konsert eksklusif yang unik dan istimewa.
Selain itu, mereka juga bekerjasama dengan penganjur Malaysia, Omni Mediaworks Sdn Bhd untuk kolaborasi tersebut.
Pengasas Nusantaiment, Syai Nick mendedahkan bahawa antara sebab mereka menjemput Fourtwnty untuk mengadakan konsert di Malaysia adalah disebabkan hubungan rapat yang terjalin selama ini, yang membuatnya yakin untuk menyampaikan persembahan yang ikhlas dan berkesan untuk peminat Fourtwnty bukan sahaja di Indonesia.
Selain itu, penyanyi Malaysia Zee Avi, yang terkenal dengan lagu ‘Kantoi,’ juga akan turut serta dalam konsert ini.
“Kami berusaha untuk mencipta persembahan terbaik melalui kolaborasi yang tidak pernah dipersembahkan oleh penganjur lain di mana ia meninggalkan memori terbaik yang tidak dapat dilupakan oleh peminat. Itulah juga yang kami harapkan untuk dicapai dalam konsert Fourtwnty nanti," katanya.
Tambah Syai Nick lagi, konsert yang dianjurkan bersama Omni Mediaworks ini juga merupakan gabungan istimewa antara tiga negara iaitu Singapura, Malaysia, dan Indonesia dan secara tidak langsung konsert ‘MyAcasà’ bukan sahaja akan membawa sesuatu yang istimewa kepada peminat tetapi juga berpotensi memberi manfaat kepada kerajaan yang terlibat, mempromosikan pertukaran budaya dan memperkukuhkan hubungan diplomasi.
Harga tiket bermula dari RM 148 hingga RM 298 dengan pelbagai kategori yang boleh didapati secara dalam talian mulai semalam ( 28 Jun) di platform rasmi www.cketempire.com.