KUALA LUMPUR, 20 Julai – Seramai 12 peserta kanak-kanak berentap dalam Program Debaran Bintang Kecil 2025 Zon Semenanjung yang berlangsung di Auditorium Perdana, Angkasapuri Kota Media.
Daripada jumlah tersebut, enam peserta telah berjaya dipilih ke peringkat akhir, iaitu Cinta Suci Indah Urmila (Johor), Mayrisha Naaila Dyana (Melaka), Puteri Azalia (Kedah), Megat Muhammad Qalif (Terengganu), Melissa Rose (Pulau Pinang), dan Tai Eimran (Selangor).
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman menyifatkan persembahan para peserta pada tahun ini sebagai luar biasa, dengan penguasaan pentas yang cemerlang serta komitmen latihan yang tinggi.
"Markah antara para peserta adalah sangat rapat kerana kesemua mereka telah menunjukkan bakat yang luar biasa. Saya berpendapat ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan, malah terdapat persembahan yang lebih mengagumkan berbanding penyanyi dewasa." jelas beliau.
Program terbitan Radio KL FM dengan kerjasama Unit Hiburan Televisyen RTM ini menampilkan tema "Nusantara Moden" dengan slogan "Cerita Kita, Irama Kita, Suara Anak Kita".
Kesemua peserta mempersembahkan lagu dalam kategori Nusantara Moden dengan iringan Orkestra RTM serta menerima bimbingan vokal daripada Wan Naqiuddin Ismail Hasbi.
Keenam-enam peserta yang terpilih menerima hadiah berupa wang tunai sebanyak RM3,000, berserta piala dan sijil penyertaan.
Mereka juga melayakkan diri ke pertandingan akhir Bintang Kecil yang dijadual berlangsung di Kuching, Sarawak pada September ini.
Sementara itu, lima peserta lain menerima hadiah saguhati berupa wang tunai sebanyak RM1,000, piala, dan sijil.
Program itu dihoskan oleh Afieq Syazwan dan Neeta Manis, manakala barisan juri terdiri daripada Raja Mohd Sham Raja Saari, Datuk Zainalabidin Mohamad, dan Azharina Azhar.