KUALA LUMPUR, 19 Julai – Barisan selebriti popular tanah air tampil menyemarakkan misi kemanusiaan apabila menghadiri majlis penyerahan sumbangan RM300,000 oleh Inayah Beauty dan Yayasan Nurjiwa bagi membaik pulih masjid di Palestin.
Majlis tersebut diserikan kehadiran figura ternama seperti Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Fasha Sandha, Uqasha Senrose, Bella Astillah, Aidil Aziz, Elisya Sandha, Watie Hanifiah, Intan Ladyana, Intan Najuwa serta Syed Saddiq.
Kesemua mereka turut menyatakan solidariti terhadap nasib saudara seagama di bumi bergolak itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Inayah Beauty, Dini Latifi berkata, sumbangan tersebut bukan sekadar simbolik, malah membawa mesej penting tentang perpaduan dan kepedulian masyarakat Malaysia terhadap isu kemanusiaan global.
“Palestin menjadi fokus tahunan bukan sahaja kerana ikatan solidariti global tetapi kerana krisis kemanusiaan di sana antara yang paling kritikal dan berpanjangan di dunia,” ujarnya.
Tambahnya, projek membaik pulih masjid itu akan dilaksanakan oleh wakil Yayasan Nurjiwa yang menetap di kawasan terlibat. Yayasan tersebut sebelum ini turut menubuhkan sekolah kanak-kanak di Gaza, Afwa Al-Afiyah, sebagai usaha jangka panjang dalam bidang pendidikan dan perlindungan.
Sebagai pemilik Yayasan Nurjiwa, Dato’ Sri Siti Nurhaliza memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran penyaluran dana, selain memanfaatkan pengaruh beliau untuk menyampaikan mesej kemanusiaan kepada masyarakat.
Duta rasmi produk tersebut, Fasha Sandha, Uqasha Senrose dan Bella Astillah turut menunjukkan komitmen tinggi apabila membantu mempromosikan kempen itu melalui penjualan produk yang menjadi antara penyumbang utama kepada tabung sumbangan tersebut.
Kehadiran para selebriti bukan sahaja menyerikan suasana, malah turut menjadi medium efektif dalam menyebarkan kesedaran tentang penderitaan rakyat Palestin serta pentingnya sumbangan berterusan daripada pelbagai lapisan masyarakat.