SEOUL, 21 Jun- Suga, anggota kumpulan sensasi global BTS, secara rasmi menamatkan khidmat wajib tenteranya hari ini, menjadikannya ahli ketujuh dan terakhir kumpulan itu yang melengkapkan latihan perkhidmatan negara Korea Selatan sekali gus mencetuskan keterujaan peminat terhadap kemunculan semula BTS selepas berehat panjang.
Menurut kenyataan agensi Big Hit Music, Suga sebenarnya telah menamatkan perkhidmatannya lebih awal pada 18 Jun selepas menggunakan cuti akhir, namun tarikh pelepasan rasmi direkodkan pada 21 Jun.
“Tiada acara umum dirancang bagi menyambut pelepasan Suga bagi mengelakkan kesesakan orang ramai,” kata wakil Big Hit.
Tidak seperti beberapa ahli lain yang berkhidmat dalam unit tentera aktif, Suga menjalani perkhidmatan sebagai ejen khidmat sosial, pilihan yang biasa bagi mereka yang menghadapi isu kesihatan tertentu.
Dalam hantaran di platform komuniti peminat Weverse, Suga turut memohon maaf kepada peminat dan rakan sekumpulan, merujuk kepada insiden tahun lalu di mana beliau dikenakan denda 15 juta won oleh mahkamah kerana kesalahan memandu dalam keadaan mabuk menggunakan skuter elektrik.
BTS, yang memulakan penggantungan aktiviti kumpulan pada 2022 untuk memberi laluan kepada khidmat ketenteraan, dijangka mengadakan jelajah dunia terbesar mereka setakat ini pada 2026, menurut laporan penganalisis hiburan NH Securities.
Setakat ini, tiada maklumat lanjut didedahkan mengenai 'reunion' rasmi BTS, namun peminat seluruh dunia menantikan detik besar itu yang dijangka menjadi momen bersejarah dalam industri K-pop.- REUTERS