KUALA LUMPUR, 23 November- Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan program bual bicara terbaharu bertajuk "Borak Lejen" terbitan Unit Hiburan TV RTM.
Menurut RTM, program tersebut menemui penonton setiap Ahad pada pukul 11.00 pagi di TV2.
Dikendalikan Raja Azura sebagai hos, ia telah mula bersiaran pada episod pengenalannya 19 November lalu.
"Setiap minggu hos akan menampilkan tetamu jemputan istimewa terdiri daripada artis terkenal tanah air.
"Setiap episod akan mempunyai tiga segmen dan pengisian program berdasarkan kisah serta pengalaman hidup artis terlibat," kata RTM menerusi kenyataan.
Jelas RTM, artis yang dipilih termasuklah Salih Yaacob, Datuk Jeffrydin, Datuk Khatijah Ibrahim, Uji Rashid, AR Badul, Datuk Francissca Peter, Datuk Andre Goh, Fauziah Latiff, Rani Kulup, Datuk Sarbanun Marican, Ayai Illusi, A. Rahman Onn, Datuk Zamery Amera dan Melissa Francis.
Program diadakan itu juga sebagai menghargai bakat artis-artis legenda yang pernah mengukir nama dalam industri seni tanah air.