fb fb fb fb fb

Bintang RTM 2024: Noy, Zizi dan Harris terkandas minggu ketiga

Noy, Zizi dan Harris antara tiga peserta pertama yang tersingkir selepas tiga minggu bertarung dan mendapat markah terendah.

KUALA LUMPUR, 28 Januari - Tiga peserta Bintang RTM 2024 akhirnya terkandas pada konsert minggu ketiga di Angkasapuri, Kota Media di sini, malam tadi.

Noy, Zizi dan Harris antara tiga peserta pertama yang tersingkir selepas tiga minggu bertarung dan mendapat markah terendah.

Ketiga-tiga Bintang RTM itu telah memberikan penampilan sengit dengan persembahan lagu berkonsepkan rock.

Kesemua 14 peserta telah memberikan persembahan amat memuaskan kepada semua juri pertandingan.

"Namun begitu.. adat pertandingan, Ada yang tersingkir ada yang kekal," kata ketua juri, Raja Mohd Sham pada sidang media malam tadi.

"Terima kasih kepada yang telah menyokong saya, tetapi rezeki tidak berpihak pada saya malam ini.

"Kita berjumpa lagi, mungkin pada masa akan datang, saya akan kembali pada Bintang RTM 2026," kata Noy kepada RTM selepas persembahan malam tadi.

"Saya sebenarnya terkejut ketika nama diumumkan, apa pun saya bersyukur sebab saya sudah memberikan yang terbaik meski saya tak sihat sekarang. Itu yang saya risau dari semalam lagi, tapi saya berikan persembahan yang terbaik," kata Harris.

Konsert Bintang RTM 2024 dikendalikan oleh Awal Ashaari menemui penonton secara langsung di saluran TV2 pada setiap Sabtu, jam 9 malam, dibawakan dari Auditorium Seri Angkasa, Kota Media, Angkasapuri.

Siaran langsung boleh diikuti secara dalam talian melalui RTMKlik (www.rtmklik.rtm.gov.my) dan radio rasmi BRTM 2024 adalah NASIONALfm.

GRACE AISYAH KEDAYAN