KUCHING 22 September- Enam pasangan dari Kuching, Sri Aman, Sibu dan Bintulu akan berentap dalam merebut gelaran Juara Bintang P. Ramlee Zon Sarawak 2024 pada 28 September di Kuching.
Menurut Ketua Sekyen Hiburan dan Muzik Jabatan Penyiaran Kawasan Sarawak, Nur Aida Kemilia Jamie Abdullah, acara akan berlangsung di Auditorium P. Ramlee, RTM Sarawak pada 8.30 hingga 11.00 malam dan masuk adalah percuma.
Ia turut disiarkan secara langsung menerusi media sosial RTM Sarawak dan radio Sarawakfm bermula pada pukul 8.30 malam.
Beliau berkata Johan Bintang P. Ramlee 2024 akan membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000 untuk peserta lelaki terbaik P. Ramlee dan RM7,000 untuk wanita era P. Ramlee terbaik beserta piala dan sijil.
Kemuncak Bintang P. Ramlee 2024 menampilkan tiga artis jemputan iaitu P. Radhi, Firdaus Materang dan Nurhijrah Yahya.
Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hajjah Hanifah Taib, dan Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib antara tetamu utama yang bakal menyaksikan pertandingan itu tersebut.
Beliau menyatakan demikian selepas majlis taklimat kepada para peserta Bintang P. Ramlee Zon Sarawak, di RTM Kuching.
Diadakan setiap dua tahun sekali sejak 1993, Bintang P. Ramlee mencungkil bakat berumur 18 hingga 70 tahun sebagai penghargaan kepada hasil seni Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee. Acara itu turut pernah disertai peserta dari negara Brunei Darussalam, Kalimantan Barat Indonesia dan Singapura.