KELANA JAYA, 25 Februari - Malaysia tidak merancang untuk menarik diri sebagai tuan rumah saingan Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023, meskipun terdapat peningkatan kes COVID-19 di negara ini.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan, setakat ini tiada sebarang perbincangan daripada mana-mana pihak mengenai perkara tersebut.
Menurut Faizal, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan meneruskan segala persiapan penganjuran dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan.
Katanya, ketetapan Prosedur Operasi Standard (SOP) juga masih kekal, antaranya kehadiran penonton tidak melebihi 50 peratus kapasiti, penjarakan fizikal serta larangan makan dan minum dalam stadium.
"Setakat hari ini SOP adalah seperti sedia ada. Mengenai penganjuran tidak ada kita bincangkan pun samada kita nak tangguh atau sebagainya. Semua berlaku seperti yang dirancang. Saya tidak sorok apa-apa. Semua berjalan dengan baik. Kita doakan tiada peningkatan kes , tiada keputusan yang menyebabkan kita tidak dapat menganjurkan perjuangan dalam negara," kata Faizal kepada pemberita dalam Majlis Pelancaran Buku Datuk Shukor Salleh bertajuk “Jeneral Padang” di Wisma FAM, di sini.
Pada pusingan kelayakan yang akan diadakan pada 8 hingga 14 Jun depan itu, skuad Harimau Malaya yang menduduki kedudukan ke-154 dunia, diundi bersama Bahrain, Turkmenistan dan Bangladesh.