fb fb fb fb fb

'An Evening With Nadeera' akan menemui peminat pada 30 Mei

Nadeera Zaini

KUALA LUMPUR, 2 Mei- Penyanyi yang mempunyai vokal mantap Nadeera Zaini giat menjalankan persiapan bagi menjayakan persembahan solo pertamanya, 'An Evening With Nadeera' yang bakal berlangsung pada 30 Mei ini.

Pelantun lagu Bukan Lagi Kita itu juga berazam memberikan persembahan terbaik dan memberi impak serta kenangan di hati para peminatnya pada konsert berkenaan.

"Showcase ini akan menumpukan kepada perjalanan saya dalam industri hiburan.

"Inspirasi saya nak tunjukkan kepada penyokong terutamanya peminat di luar sana tentang seorang Nadeera yang dah lama ingin mencuba nasib dalam bidang nyanyian.

"Semestinya untuk menjadi seorang anak seni bukan satu perkara yang mudah, sudah pasti tentang perjalanan saya, untuk dikongsikan kepada mereka," katanya.

Nadeera berkata demikian kepada RTM ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran 'An Evening With Nadeera' di ibu negara.

Bintang yang semakin menyinar itu juga meluahkan rasa teruja dan terkejut berikutan tiket berkenaan habis dijual dalam masa tiga minit.

Konsert "An Evening With Nadeera" bakal berlangsung pada 30 Mei ini di Nero Event Space, PJPAC, One Utama.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI