KUALA LUMPUR, 2 Mei- Penyanyi, Hael Husaini menzahirkan rasa teruja selepas persembahan solo 'Showcase Antonim Night' mendapat sambutan luar biasa apabila sebanyak 300 tiket habis terjual dalam tempoh masa kurang daripada 17 minit.
Hael, 37 menyifatkan konsert berkenaan sebagai hadiah kepada para peminat yang sentiasa menyokong perjalanan karier seninya hingga kini.
"Saya harap Antonim Night ini dapat membuka mata ataupun memberi saya lebih ruang untuk berkarya.
"Mungkin jika diberikan rezeki yang besar, ia lebih kepada pemberian saya kepada mereka yang sudah lama menyokong saya dalam industri ini," katanya.
Hael berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Showcase Antonim Night di sini, hari ini.
Pada konsert berkenaan pelantun lagu Jampi itu akan mempersembahkan lagu-lagu daripada album sulungnya seperti seperti Diam, Usia, Kejora, Please, Hero dan Sama Seperti Dulu (versi orkestra).
Konsert tersebut bakal berlangsung pada 31 Mei ini di Nero Event Space, PJPAC, One Utama.