KUALA LUMPUR, 19 Januari- Penyanyi tempatan, Dasha Logan melancarkan album mini bertajuk 'Legasi' sebagai dedikasi kepada kumpulan legenda ikonik negara, Alleycats.
Dasha, 37, yang juga anak kepada mendiang Datuk Loganathan Arumugam iaitu vokalis Alleycats turut menampilkan kolaborasi bersama bapa saudaranya, Datuk David Arumugam dalam album tersebut.
"Ia seperti fantasi yang menjadi kenyataan. Saya berbincang dengan Jennifer Thomson (pengarah muzik) dan Rozhan Razman (penerbit muzik), bertanya sama ada impian ini boleh direalisasikan.
"Mereka yakin boleh dan akhirnya kami berjaya menghasilkan album ini. Saya berharap semua orang menyukai lagu-lagu ini," katanya.
Album ini menyajikan lima lagu malar segar Alleycats dengan susunan muzik oleh Melina Williams dan sentuhan kreatif Rozhan Razman.
Antara lagu yang dimuatkan ialah 'Jika Kau Bercinta Lagi', 'Senandung Semalam', 'Seribu Bintang', 'Andainya Aku Pergi Dulu Sebelummu' dan 'Sampaikanlah Salam'.
Album 'Legasi' kini boleh didengar di platform penstriman, manakala video muzik 'Jika Kau Bercinta Lagi' dengan penampilan khas David Arumugam akan dilancarkan tidak lama lagi.