KUALA LUMPUR, 7 Julai - Kumpulan idol terkenal dari Jepun, AKB48 kini mencari ahli baharu bagi kumpulan adik mereka di Kuala Lumpur iaitu KLP48 menerusi penganjuran Uji Bakat Generasi Kedua KLP48, "BLOOM".
Wakil penganjur, Yip Jun Huei menyatakan keyakinan dan berharap lebih ramai bakat baharu tampil dalam uji bakat berkenaan.
Katanya, pencarian ahli generasi kedua KLP48 dijangka mencorakkan masa depan kumpulan itu serta meneruskan legasi AKB48.
“Kami amat teruja untuk memulakan pencarian ahli generasi kedua yang akan terus mencorakkan masa depan KLP48 dan meneruskan legasi AKB48. Kepada semua yang ingin mencuba, kami ucapkan semoga berjaya dan terus berusaha!," katanya dalam satu kenyataan.
Uji bakat ini terbuka kepada semua wanita muda berumur antara 13 hingga 23 tahun tanpa mengira warganegara.
Permohonan dibuka bermula 1 Julai lalu sehingga 1 Ogos 2025. Calon yang berminat perlu menghantar rakaman video berdurasi maksimum 90 saat menampilkan nyanyian atau tarian melalui laman web rasmi klp48audition.com.
KLP48 merupakan kumpulan adik ke-10 AKB48 selain mempunyai rangkaian pelbagai negara seperti JKT48 di Jakarta, BNK48 di Bangkok, MNL48 di Manila, AKB48 Team SH di Shanghai, AKB48 Team TP di Taipei, SGO48 di Ho Chi Minh City, CGM48 di Chiang Mai, DEL48 di Delhi dan MUB48 di Mumbai.