KUALA LUMPUR, 11 Julai – Kumpulan rock alternatif tempatan, Midnight Fusic, bakal menjayakan konsert perdana mereka bertajuk Midnight Fusic Forevermore 2025 pada 14 September ini di Zepp Kuala Lumpur, menjanjikan sebuah persembahan berskala besar dan penuh emosi.
Konsert sulung itu menjadi detik bersejarah buat Midnight Fusic, yang terdiri daripada Arif Kamarudin (vokal, gitar), Adrian Danial (vokal, gitar), Firdaus Azmi (bass) dan Muaz Rabbani (dram), selepas hampir sedekad berkarya dan mencipta nama dalam kalangan penggemar muzik arus alternatif.
Dianjurkan oleh OYOLLO Asia, Midnight Fusic Forevermore 2025 bukan sekadar persembahan pentas, tetapi sebuah keraian terhadap perjalanan seni mereka yang penuh warna, dari awal kemunculan hingga kini.
“Kami tampil dengan senarai lagu dan visual baharu, seluruh pengalaman konsert ini sesuatu yang segar. Ia bukan sekadar gig, tapi permulaan baharu bagi kami,” kata Arif.
Tambahnya, konsert itu juga menjadi ruang untuk menghargai para peminat yang telah menyokong sejak awal, sama ada secara terbuka mahupun dari jauh.
“Kami susun setlist supaya ia punya jalan cerita. Kami mahu kongsi fasa-fasa penting Midnight Fusic, sambil perkenalkan sisi baharu kami,” ujarnya.
Bagi Muaz, konsert tersebut dijangka membawa aura tersendiri, bermula sebaik sahaja lagu pertama dimainkan.
“Saat lagu pertama bergema, semua akan ‘tenggelam’ bersama. Lagu, rentak, penonton semuanya akan berpadu menjadi satu momen magis,” katanya.
Adrian dan Firdaus pula menggambarkan konsert ini sebagai manifestasi kasih mereka terhadap muzik dan peminat.
“Raikan 10 tahun kita bersama. Midnight Fusic Forever and More!”
Konsert berkenaan dijangka menjadi titik tolak penting dalam karier Midnight Fusic, sekaligus membuka lembaran baharu buat kumpulan yang terus mencipta ruang tersendiri dalam landskap muzik Malaysia.