Warga emas diberkas, disyaki bunuh pelancong 30 tahun lalu

Amy Lopez ditemukan maut di kawasan bersejarah Ehrenbreitstein berdekatan sungai Rhine 30 tahun lalu.

KOBLENZ, JERMAN, 26 Februari – Seorang lelaki berusia 81 tahun diberkas selepas disyaki terlibat dengan serangan seksual dan pembunuhan seorang pelancong wanita Amerika Syarikat 30 tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lelaki 81 tahun ditangkap disyaki terlibat pembunuhan dan serangan seksual 30 tahun dahulu.
  • Polis membuka semula siasatan susulan kemajuan teknologi DNA.
  • Padanan DNA air liur suspek ditemui pada seluar mangsa.
  • Mangsa, Amy Lopez, ditemui maut dengan kecederaan kepala dan kesan tikaman.

Ketua Pendakwa Raya Koblenz, Manfred Mannweiler berkata, kemajuan dalam teknologi DNA membolehkan polis membuka semula siasatan dan menangkap suspek di rumah persaraan.

“Kes tersebut mungkin tidak dapat diselesaikan jika tiada kemajuan teknologi. Selepas 30 tahun akhirnya suspek dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Lelaki warga emas itu ditangkap selepas DNA air liurnya sepadan dengan kesan DNA pada seluar mangsa.

30 tahun lalu, mangsa, Amy Lopez berusia 24 tahun ditemukan maut di kawasan bersejarah Ehrenbreitstein berdekatan sungai Rhine.

Mayatnya ditemukan dalam keadaan parah di kepala serta terdapat tikaman pada bahagian badan. -AFP