Vietnam hukum mati 11 pengedar dadah

Foto REUTERS

HANOI, 4 Sept – Sebuah mahkamah di Vietnam menjatuhkan hukuman mati terhadap 11 individu berhubung salah satu kes pengedaran dadah terbesar di negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mahkamah Rakyat Ho Chi Minh menjatuhkan hukuman mati terhadap 11 daripada 227 tertuduh atas kesalahan pengedaran dadah.
  • Kes bermula selepas lebih 10 kilogram dadah ditemui Mac 2023, disembunyikan dalam 157 tiub ubat gigi dibawa empat pramugari dari Paris.
  • Rangkaian pengedaran rentas negara menyeludup bahan terlarang dari Perancis menggunakan akaun bank palsu, pesanan disulitkan dan perkhidmatan penghantaran.
  • Kerajaan mencadangkan pemansuhan hukuman mati untuk enam kesalahan termasuk pengedaran dadah, tetapi cadangan itu belum berkuat kuasa.

Mahkamah Rakyat Ho Chi Minh menjatuhkan hukuman mati terhadap 11 daripada 227 tertuduh yang didapati bersalah atas kesalahan pengedaran dadah, lapor akhbar dalam talian VnExpress pada Khamis.

Kes itu bermula selepas lebih 10 kilogram dadah ditemukan pada Mac 2023, disembunyikan dalam 157 tiub ubat gigi yang dibawa empat pramugari Vietnam Airlines dari Paris ketika tiba di Lapangan Terbang Tan Son Nhat, Ho Chi Minh.

Pihak berkuasa kemudian mendapati keempat-empat pramugari berkenaan tidak mengetahui bahawa mereka membawa dadah tersebut.

Siasatan susulan membawa kepada pembongkaran rangkaian pengedaran dadah rentas negara yang didakwa menyeludup bahan terlarang dari Perancis ke Vietnam dengan menamakannya sebagai barangan pengguna.

Pendakwa raya berkata anggota rangkaian berkenaan menggunakan platform pesanan yang disulitkan, akaun bank yang didaftarkan menggunakan nama individu lain serta perkhidmatan penghantaran bagi mengedarkan dadah di seluruh selatan Vietnam.

Sekurang-kurangnya 20 lagi tertuduh dalam kes itu dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.

Maklumat mengenai peguam yang mewakili 11 individu yang dijatuhi hukuman mati belum diperoleh.

Keputusan mahkamah itu dibuat ketika Vietnam sedang mempertimbangkan perubahan terhadap pelaksanaan hukuman mati.

Kerajaan Vietnam pada bulan lalu mencadangkan pemansuhan hukuman mati bagi enam kesalahan, termasuk pengedaran dadah, sebagai sebahagian daripada pindaan terhadap kanun jenayah negara itu.

Bagaimanapun, cadangan tersebut masih belum berkuat kuasa. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.