Universiti India mohon maaf selepas dikecam berhubung isu robot buatan China

Universiti India mohon maaf selepas dikecam berhubung isu robot buatan China./REUTERS

NEW DELHI, 19 Februari – Sebuah universiti swasta di India memohon maaf selepas berdepan kecaman susulan tindakan seorang daripada wakilnya pada sidang kemuncak kecerdasan buatan (AI) berprofil tinggi yang mempersembahkan robot buatan China sebagai hasil ciptaan tempatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Universiti Galgotias mohon maaf selepas wakilnya memberikan maklumat tidak tepat mengenai robot yang dipamerkan.
  • Wakil pavilion tidak dimaklumkan asal usul teknikal produk dan bukan diberi kuasa bercakap kepada media.
  • Robot itu ialah Unitree Go2, anjing robot buatan China yang dijual secara komersial dengan harga kira-kira AS$2,800.
  • Universiti dikeluarkan dari ruang pameran pada India AI Impact Summit selepas salah lapor tersebar dan mencetuskan kritikan.

Universiti Galgotias diminta meninggalkan ruang pamerannya sempena India AI Impact Summit di New Delhi selepas salah lapor itu diketahui umum, sekali gus mencetuskan kritikan di media sosial.

Universiti yang terletak di Uttar Pradesh berhampiran Delhi itu mempamerkan syarikat pemula diterajui pelajar pada acara berkenaan.

Di ruang pamerannya terdapat “Orion”, seekor anjing robot buatan China yang diperkenalkan oleh profesor komunikasi, Neha Singh, sebagai produk Pusat Kecemerlangan universiti berkenaan.

“Kami di Universiti Galgotias ingin memohon maaf atas kekeliruan yang timbul pada Sidang Kemuncak AI baru-baru ini. Seorang daripada wakil kami yang menjaga pavilion tidak dimaklumkan dengan tepat.

“Beliau tidak mengetahui asal usul teknikal produk itu dan dalam keterujaan berada di hadapan kamera, telah memberikan maklumat yang tidak tepat dari segi fakta walaupun beliau tidak diberi kuasa untuk bercakap kepada media,” menurut kenyataan universiti itu pada Rabu.

“Kami memohon kefahaman semua pihak kerana tiada niat institusi untuk mengelirukan berhubung inovasi ini,” katanya.

Robot berkenaan dikenal pasti sebagai Unitree Go2 yang berharga kira-kira AS$2,800 dan boleh didapati secara komersial.-BERNAMA