
KIEV, 4 Mac- Ukraine menawarkan pertukaran sistem pertahanan udara kepada sekutu Amerika Syarikat (AS) di Asia Barat, sebagai langkah memperkukuh perlindungan daripada serangan dron Iran.
- Ukraine menawarkan pertukaran pemintas dron buatan tempatan dengan peluru berpandu PAC-3 kepada negara Teluk.
- Zelensky kata sistem pemintas dron Ukraine kos rendah dan antara yang terbaik untuk menangani ancaman dron Iran.
- PAC-3 diperlukan untuk pertahanan bandar dan infrastruktur, tetapi kurang berkesan menentang serangan dron beramai-ramai.
- Kerjasama teknikal antara pihak terlibat diperlukan untuk merealisasikan pertukaran yang dianggap adil dan saling menguntungkan.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata negaranya bersedia menukar pemintas dron buatan tempatan yang terbukti berkesan dengan peluru berpandu pertahanan udara PAC-3 yang kini amat diperlukan Kiev.
Serangan Israel dan AS ke atas Iran sebelum ini mencetuskan tindakan balas Tehran, termasuk penggunaan dron di beberapa lokasi di rantau tersebut.
Dilaporkan, Kiev membangunkan pelbagai pemintas dron kos rendah untuk memusnahkan serangan dron di udara, malah Zelensky mendakwa sistem itu antara yang terbaik di dunia.
Ia sebagai tindak balas memandangkan Rusia dilapor menggunakan dron rekaan Iran jenis Shahed secara meluas ke atas Ukraine.
Pada masa sama, Ukraine berdepan kekurangan peluru berpandu PAC-3, iaitu peluru berpandu mahal yang digunakan untuk memintas serangan peluru berpandu Rusia bagi melindungi bandar serta infrastruktur kritikal.
“Isu paling utama adalah bagaimana hendak melindungi ruang udara mereka. Kami sendiri berdepan persoalan itu setiap hari.
“Jika mereka memberikan kami peluru berpandu PAC-3, kami akan memberikan pemintas dron kepada mereka,” kata Zelensky.
Katanya, peluru berpandu PAC-3 tidak berkesan untuk menangkis serangan ratusan dron Shahed secara serentak, sekali gus menjadikan pertukaran itu sebagai langkah saling menguntungkan.
“Ini pertukaran yang adil. Jika pasukan teknikal mula bekerjasama sekarang, kita akan lihat hasilnya,” katanya kepada wartawan di Kiev.