
LONDON, 3 September – Uber dan syarikat pemula Britain, Wayve, menjadi syarikat pertama melancarkan perkhidmatan teksi robot kepada orang ramai di London pada Khamis.
- Setiap kenderaan masih mempunyai penyelia manusia di belakang stereng untuk memastikan keselamatan penumpang.
- Perkhidmatan dilancarkan secara berperingkat dengan kebenaran keselamatan untuk mengendalikan 15 kenderaan pada peringkat awal.
- Belum ada tarikh untuk operasi tanpa pemandu; pesaing dan pihak berkuasa masih menetapkan garis panduan dan sasaran pelancaran.
Bagaimanapun, setiap kenderaan masih mempunyai penyelia manusia di belakang stereng bagi memastikan keselamatan penumpang terjamin.
London kini menjadi bandar kedua di Eropah yang menawarkan perkhidmatan itu selepas Zagreb, Croatia.
Ketua Produk Uber, Wendy Lee berkata, perkhidmatan itu akan dilancarkan secara berperingkat dan kini mendapat kebenaran keselamatan untuk mengendalikan 15 kenderaan.
Pelancaran itu mendahului pesaing seperti Waymo milik Alphabet dan syarikat China, Baidu, yang bekerjasama dengan Lyft.
Dalam demonstrasi di London pada Selasa, seorang penyelia mengambil alih kawalan kenderaan buat sementara waktu ketika melalui persimpangan berhampiran Big Ben.
Ketua Pembangunan Perniagaan Wayve, Kaity Fischer berkata, belum ada tarikh ditetapkan untuk Uber dan Wayve melancarkan teksi yang boleh beroperasi sepenuhnya tanpa manusia.
Waymo pula menyasarkan untuk melancarkan perkhidmatan tanpa pemandu menjelang akhir tahun ini, tertakluk kepada kelulusan kerajaan.
Lyft yang merancang bekerjasama dengan Baidu untuk melancarkan perkhidmatan pada 2027 masih menunggu garis panduan daripada Transport for London (TfL).
TfL berkata garis panduan itu dijangka dikeluarkan tidak lama lagi.
Tambang teksi robot itu pada peringkat awal ditetapkan sama seperti tambang perjalanan Uber biasa.
Wayve juga merancang memperluas perkhidmatan ke Tokyo sebelum mengembangkannya ke 10 bandar lain bersama Uber. – AFP