
NEW YORK, 3 Ogos – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, menggesa Amerika Syarikat (AS) dan Iran kembali ke meja rundingan bagi meredakan ketegangan yang semakin memuncak antara kedua-dua negara.
- Guterres menggesa AS dan Iran kembali kepada diplomasi serta rundingan sebagai jalan penyelesaian berkekalan.
- Beliau menggesa penghentian segera tindakan ketenteraan dan elakkan kenyataan yang boleh meningkatkan ketegangan.
- Beliau bimbang tentang korban awam, termasuk laporan serangan pada majlis perkahwinan, dan mengutuk serangan terhadap orang awam.
- Peningkatan ketegangan memburukkan keperluan bantuan kemanusiaan dan menambah tekanan pada operasi yang kekurangan sumber serta dana.
Gesaan itu dibuat selepas berlaku pertukaran tembakan terbaharu antara AS dan Iran pada malam Selasa, yang turut dilaporkan mengorbankan orang awam.
Jurucakap Guterres, Stephane Dujarric berkata, Setiausaha Agung PBB amat bimbang dengan perkembangan itu dan menggesa semua pihak menghentikan tindakan ketenteraan dengan segera.
Beliau turut menyeru kedua-dua pihak supaya bertenang serta mengelak tindakan dan kenyataan yang boleh meningkatkan lagi ketegangan.
“Setiausaha Agung menggesa Amerika Syarikat dan Republik Islam Iran kembali kepada diplomasi dengan segera,” katanya.
Menurut Dujarric, penyelesaian yang menyeluruh dan berkekalan hanya boleh dicapai melalui dialog serta rundingan.
Guterres turut menyatakan kebimbangan terhadap laporan mengenai korban awam, termasuk dalam satu serangan yang dilaporkan mengenai sebuah majlis perkahwinan di Iran.
Beliau mengutuk semua serangan terhadap orang awam dan mengingatkan semua pihak supaya mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Dujarric berkata, peningkatan ketegangan di Asia Barat memberi kesan buruk kepada orang awam serta meningkatkan keperluan bantuan kemanusiaan di rantau berkenaan.
Katanya, keadaan itu turut memberi tekanan tambahan kepada operasi bantuan yang sememangnya berdepan kekangan sumber dan kekurangan dana.
Guterres mengulangi pendiriannya bahawa jalan diplomasi perlu diutamakan bagi mengelakkan konflik daripada terus merebak dan memburukkan keadaan kemanusiaan di rantau berkenaan. – REUTERS