Tujuh maut dalam letupan gas di Kazakhstan

Foto hiasan

ASTANA, 27 Februari – Tujuh terkorban, manakala 19 lagi cedera dalam satu letupan gas kuat yang memusnahkan sebuah kafe di bandar peranginan Shchuchinsk di utara Kazakhstan, lapor media tempatan pada Jumaat memetik Xinhua.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lima mangsa maut di tempat kejadian, dua lagi meninggal dunia di ICU.
  • Letupan dipercayai disebabkan campuran gas dan udara yang dinyalakan dalam kafe.
  • Kebakaran di kafe setingkat bersambung dengan bangunan kediaman telah dipadamkan.
  • Siasatan rasmi sedang dijalankan untuk menentukan punca sebenar letupan.

Menurut laporan itu, campuran gas-udara dipercayai telah dinyalakan di dalam kafe berkenaan, sekali gus mencetuskan letupan yang berlaku pada malam antara 26 dan 27 Feb.

Letupan itu disusuli dengan kebakaran di kafe setingkat yang bersambung dengan sebuah bangunan kediaman di Daerah Burabay, Wilayah Akmola.

Jabatan kecemasan wilayah memaklumkan bahawa kebakaran telah dipadamkan sepenuhnya.

Pihak berkuasa wilayah menyatakan lima mangsa maut di tempat kejadian, manakala dua lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU). Antara yang maut termasuk seorang remaja perempuan berusia 16 tahun.

Seramai 13 mangsa yang cedera masih dirawat di hospital, dengan kebanyakannya mengalami luka lecur pada tahap serius yang berbeza-beza.

Siasatan telah dimulakan bagi mengenal pasti punca sebenar letupan berkenaan, kata pihak berkuasa.-BERNAMA-XINHUA