Trump yakin pertumbuhan ekonomi mampu tangani hutang AS cecah AS$40 trilion

Presiden Donald Trump bercakap kepada media selepas turun dari pesawat Air Force One sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Myrtle Beach di Myrtle Beach, Carolina Selatan, untuk menghadiri perhimpunan kempen bagi Senator AS Darline Graham / Foto AFP

CAROLINA SELATAN, 22 Ogos – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yakin, pertumbuhan ekonomi negara itu mampu menangani peningkatan hutang negara yang kini melepasi AS$40 trilion (kira-kira RM168 trilion).

RINGKASAN BERITA AI
  • Trump yakin pertumbuhan ekonomi mampu menangani peningkatan hutang negara.
  • Beliau menegaskan pertumbuhan semasa sangat pesat dan belum pernah dialami sebelum ini.
  • Peningkatan hutang mencetuskan kebimbangan risiko krisis fiskal, terutama kos keselamatan sosial dan faedah yang meningkat.
  • Kenaikan disebabkan pinjaman besar semasa pandemik, dasar fiskal kedua pentadbiran dan pemotongan cukai.

“Memang benar, dan ia telah menjadi masalah selama 35 tahun. Namun, apa yang kita miliki sekarang, sesuatu yang tidak pernah kita nikmati sebelum ini, malah kita telah merasai sebahagian besarnya pada penggal pertama saya.

Seperti yang anda sedia maklum ialah pertumbuhan yang sangat pesat. Cara untuk menangani hutang adalah melalui pertumbuhan, dan kita sedang mengalami pertumbuhan yang luar biasa. Kita tidak pernah menyaksikan pertumbuhan seperti yang kita alami sekarang. Pertumbuhan ini akan dapat menyelesaikannya dengan mudah,” katanya selepas turun dari pesawat Air Force One sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Myrtle Beach di Myrtle Beach, Carolina Selatan, untuk menghadiri perhimpunan kempen bagi Senator AS Darline Graham.

Trump membuat kenyataan itu pada Jumaat ketika hutang kerajaan persekutuan AS mencatat rekod baharu, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai kedudukan kewangan negara itu.

Jabatan Perbendaharaan AS minggu ini mengesahkan jumlah hutang kerajaan persekutuan telah melepasi AS$40 trilion buat kali pertama.

Namun, peningkatan hutang itu menimbulkan amaran baharu mengenai risiko krisis fiskal, terutama apabila kos program jaringan keselamatan sosial dan bayaran faedah hutang meningkat jauh lebih pantas berbanding hasil kerajaan.

Hasil kerajaan turut terjejas akibat pemotongan cukai, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap kedudukan kewangan negara.

Jumlah hutang kerajaan AS kini lebih dua kali ganda berbanding ketika Trump pertama kali mengangkat sumpah sebagai presiden pada Januari 2017, iaitu sekitar AS$19.95 trilion (kira-kira RM84 trilion).

Kira-kira satu pertiga daripada peningkatan itu berlaku dalam tempoh dua tahun ketika kerajaan AS meningkatkan pinjaman secara besar-besaran bagi membiayai langkah menangani pandemik COVID-19 di bawah pentadbiran Trump dan bekas Presiden Joe Biden.

Selebihnya berpunca daripada dasar fiskal kedua-dua pentadbiran, selain ketidakseimbangan hasil cukai dan perbelanjaan kerajaan yang sudah berlarutan sejak sekian lama.

Peningkatan hutang berlaku ketika kerajaan AS terus berdepan tekanan untuk membiayai program sosial, membayar faedah hutang dan memenuhi komitmen perbelanjaan lain.

Perkembangan itu meningkatkan persoalan mengenai kemampuan AS mengawal hutang dalam jangka panjang, terutama jika pertumbuhan ekonomi tidak cukup pantas untuk mengimbangi peningkatan kos pinjaman dan perbelanjaan kerajaan. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.