
WASHINGTON, 21 Februari – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan tarif tambahan 10 peratus ke atas semua import ke AS pada Jumaat, beberapa jam selepas Mahkamah Agung membatalkan sebahagian besar pelaksanaan tarif terdahulu beliau.
- Trump mengumumkan tarif tambahan 10 peratus ke atas semua import selepas Mahkamah Agung membatalkan kuasa tarif terdahulu.
- Keputusan Mahkamah Agung 6-3 menyatakan undang-undang 1977 tidak beri kuasa unilateral kepada presiden.
- Setiausaha Perbendaharaan kata mekanisme alternatif dijangka tidak jejas hasil kutipan tarif 2026.
- Langkah itu boleh picu ketegangan perdagangan global dan reaksi dari rakan dagang utama AS.
Perintah tarif itu ditandatangani di Pejabat Oval dan menurut Trump, ia berkuat kuasa hampir serta-merta.
Sepanjang tahun lalu, beliau mengenakan pelbagai kadar tarif ke atas beberapa negara sama ada sekutu mahupun pesaing, sebagai sebahagian daripada dasar perdagangan yang tegas.
Dalam keputusan enam berbanding tiga, mahkamah tertinggi negara itu memutuskan bahawa undang-undang 1977 yang digunakan Trump untuk mengenakan tarif secara unilateral ke atas negara tertentu tidak memberikan kuasa sedemikian kepada presiden.
Trump yang sebelum ini mencalonkan dua hakim dalam panel berkenaan, menyuarakan kekecewaan terhadap keputusan tersebut dan menegaskan beliau masih mempunyai kuasa untuk melindungi kepentingan ekonomi negara.
Sementara itu Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent berkata mekanisme alternatif yang akan digunakan dijangka tidak menjejaskan hasil kutipan tarif pada 2026.
Langkah terbaharu itu berpotensi mencetuskan ketegangan perdagangan global serta menimbulkan reaksi daripada rakan dagang utama AS. -AFP