
WASHINGTON, 27 Mac – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, meluahkan kekecewaan terhadap Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) susulan tindak balas sekutunya dalam konflik terkini melibatkan Iran, selain mengkritik kemampuan ketenteraan United Kingdom (UK).
- Trump kata NATO diuji dan Washington akan ingat sikap sekutu.
- Trump sindir kapal induk UK sebagai "kapal mainan", kata AS tidak perlukan sokongan itu.
- Trump kecam sekutu kerana enggan bantu jamin keselamatan Selat Hormuz.
Trump berkata konflik dengan Iran merupakan satu “ujian” terhadap kesetiaan sekutu Barat, sambil memberi amaran bahawa pendirian negara-negara terbabit akan diingati Washington.
“Kami sangat kecewa dengan NATO… ini satu ujian, dan kami akan ingat,” katanya ketika mesyuarat Kabinet di White House, Washington, pada Khamis.
Trump turut menyindir pengumuman UK yang bercadang menghantar kapal induk selepas serangan awal, dengan menyifatkan aset ketenteraan negara itu tidak setanding dengan AS.
“Kami dimaklumkan UK akan menghantar kapal induk mereka, namun ia bukan yang terbaik dan hanya seperti ‘kapal mainan’ berbanding apa yang kami miliki. UK juga merancang untuk menghantarnya selepas perang berakhir.
“Saya katakan, terima kasih, tetapi tidak perlu. Kami tidak memerlukannya, dan kami juga tidak memerlukan mereka,” katanya.
NATO ialah pakatan ketenteraan yang ditubuhkan pada 1949 bagi memastikan keselamatan bersama negara-negara Barat selepas Perang Dunia Kedua.
Setakat ini, NATO dianggotai 32 negara, termasuk AS, UK, Perancis, Jerman dan Turkiye, dengan penyertaan terbaharu Finland dan Sweden.
Dalam perkembangan berkaitan, ketegangan di Selat Hormuz terus meningkat, dengan laluan itu mengendalikan kira-kira 20 peratus perdagangan minyak dan gas asli cecair (LNG) global, sekali gus memberi tekanan kepada harga tenaga dunia.
Trump turut mengecam sekutu Barat kerana enggan membantu menjamin keselamatan laluan strategik itu.
Manakala Tehran menegaskan Selat Hormuz hanya terbuka kepada negara “mesra dan tidak bermusuhan”.
Konflik tercetus selepas serangan dilancarkan oleh AS dan Israel ke atas Iran pada 28 Februari lalu, sebelum Tehran bertindak balas dengan serangan terhadap aset AS dan Israel di rantau berkenaan.
Sehingga kini, Iran melaporkan lebih 1,500 kematian, manakala AS mengesahkan sekurang-kurangnya 13 anggota tenteranya terbunuh dan lebih 200 cedera. – VIORY