Tony Blair kembali ke Asia Barat dalam pelan Gaza Trump

Bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair/ Foto Reuters

WASHINGTON, 17 Januari – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, melantik bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair, untuk memainkan peranan penting dalam pentadbiran pasca-perang Gaza, selain melantik seorang pegawai kanan tentera AS bagi mengetuai pasukan keselamatan baharu di wilayah itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Trump melantik Tony Blair ke Lembaga Keamanan untuk menyelia pentadbiran pasca-perang Gaza.
  • Lembaga Keamanan diketuai Trump, majoriti ahli daripada AS, fokus pada pembinaan semula dan pembiayaan besar.
  • Mejar Jeneral Jasper Jeffers dilantik mengetuai Pasukan Penstabilan Antarabangsa untuk keselamatan dan latihan polis baharu.
  • Pelantikan Blair dan beberapa ahli mencetuskan kontroversi; kerjasama antarabangsa mungkin sukar tanpa persetujuan Hamas.

Trump pada Jumaat mengumumkan senarai penuh keanggotaan sebuah badan dikenali sebagai “Lembaga Keamanan” (Board of Peace) yang akan menyelia masa depan Gaza, dengan majoriti ahlinya terdiri daripada tokoh Amerika Syarikat, selaras dengan visinya untuk membangunkan semula wilayah Palestin itu yang kini musnah akibat lebih dua tahun serangan ketenteraan Israel.

Langkah itu diumumkan selepas sebuah jawatankuasa teknokrat Palestin yang ditugaskan mentadbir Gaza mengadakan mesyuarat pertamanya di Kaherah.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri Jared Kushner, menantu Trump yang memainkan peranan penting dalam dasar Asia Barat pentadbiran AS.

Trump sebelum ini mengisytiharkan dirinya sebagai pengerusi Lembaga Keamanan dan pada Jumaat mengumumkan keanggotaan penuh badan itu, termasuk Blair, Kushner, Setiausaha Negara AS Marco Rubio, serta Steve Witkoff, rakan perniagaan Trump yang kini bertindak sebagai perunding diplomatik.

Pelantikan Blair mencetuskan kontroversi berikutan peranannya dalam pencerobohan Iraq pada 2003, yang masih dipandang negatif di Asia Barat.

Trump sebelum ini menyatakan beliau mahu memastikan Blair merupakan “pilihan yang boleh diterima semua pihak”.

Selepas meninggalkan jawatan perdana menteri pada 2007, Blair berkhidmat selama beberapa tahun sebagai wakil Quartet Asia Barat, yang terdiri daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat dan Rusia, dengan fokus kepada konflik Israel-Palestin.

Menurut White House, Lembaga Keamanan akan menangani isu seperti pembinaan kapasiti tadbir urus, hubungan serantau, pembinaan semula, pelaburan, pembiayaan berskala besar dan mobilisasi modal.

Trump, yang berlatar belakangkan sektor hartanah, sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi dengan idea menjadikan Gaza sebagai kawasan peranginan ala Riviera, namun menegaskan beliau tidak menyokong pemindahan paksa penduduk Palestin.

Ahli lembaga lain termasuk Presiden Bank Dunia Ajay Banga, jutawan kewangan AS Marc Rowan, serta Robert Gabriel, pembantu setia Trump yang berkhidmat dalam Majlis Keselamatan Negara.

Sementara itu, tentera Israel pada Jumaat mengesahkan serangan terbaharu ke atas Gaza, dengan alasan berlaku “pelanggaran jelas” terhadap gencatan senjata yang diisytiharkan pada Oktober lalu.

Serangan itu berlaku walaupun Washington menyatakan pelan Gaza kini memasuki fasa kedua, iaitu daripada pelaksanaan gencatan senjata kepada usaha melucutkan senjata Hamas, susulan serangan kumpulan itu ke atas Israel pada Oktober 2023.

Trump turut melantik Mejar Jeneral Jasper Jeffers sebagai ketua Pasukan Penstabilan Antarabangsa, yang akan bertanggungjawab menyediakan keselamatan di Gaza dan melatih pasukan polis baharu bagi menggantikan Hamas.

Namun, diplomat menjangkakan kesukaran untuk mendapatkan sumbangan tentera asing selagi Hamas tidak bersetuju untuk melucutkan senjata sepenuhnya.

Jawatankuasa pentadbiran Gaza diketuai bekas Timbalan Menteri Pihak Berkuasa Palestin, Ali Shaath, manakala diplomat Bulgaria Nickolay Mladenov dilantik sebagai wakil perhubungan antara jawatankuasa itu dan Lembaga Keamanan Trump.

Ahli jawatankuasa dijadualkan bermesyuarat sekali lagi pada Sabtu dan menyatakan hasrat untuk memasuki Gaza dalam masa terdekat bagi memulakan tugas di lapangan.

Trump turut mengumumkan penubuhan sebuah lembaga eksekutif kedua yang berperanan sebagai penasihat, merangkumi Blair, Witkoff, Mladenov serta Menteri Luar Turkiye Hakan Fidan.

Bagaimanapun, Israel menolak sebarang peranan Turkiye dalam pasukan keselamatan, berikutan kecaman keras Presiden Recep Tayyip Erdogan terhadap tindakan Israel di Gaza.

Lembaga itu juga akan melibatkan wakil Mesir, Qatar, Emiriah Arab Bersatu serta penyelaras kemanusiaan PBB untuk Gaza, Sigrid Kaag, walaupun pentadbiran Trump sebelum ini cuba mengehadkan peranan badan dunia tersebut.- AFP