Tokoh media AS dan pemilik Fiorentina, Rocco Commisso meninggal dunia

FOTO REUTERS

ROME, 17 Januari – Tokoh media Amerika Syarikat dan pemilik kelab bola sepak Itali, Fiorentina, Rocco Commisso, meninggal dunia pada usia 76 tahun, menurut kenyataan rasmi kelab itu pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rocco Commisso, pengasas Mediacom dan bekas pemilik New York Cosmos, meninggal dunia pada usia 76 tahun.
  • Beliau membeli Fiorentina pada 2019 dan aktif melabur untuk memulihkan kegemilangan kelab.
  • Melabur dalam pusat latihan baharu bernilai €120 juta untuk memperkukuh infrastruktur kelab.
  • Di bawah kepimpinannya, Fiorentina mencapai beberapa akhir Piala Itali dan dua final Liga Persidangan UEFA.

Commisso, yang juga pernah memiliki kelab New York Cosmos, merupakan pengasas Mediacom Communications, salah satu penyedia televisyen kabel terbesar di Amerika Syarikat.

Dilahirkan di Itali, beliau berhijrah ke Amerika Syarikat bersama keluarganya ketika masih kecil sebelum membina empayar perniagaan yang berjaya, dengan nilai kekayaan dianggarkan Forbes sebanyak AS$5.9 bilion.

“Dengan rasa amat dukacita dan kesedihan, keluarga Commisso mengumumkan pemergian Presiden kelab, Rocco B. Commisso,” menurut kenyataan Fiorentina, sambil memaklumkan beliau telah menjalani rawatan perubatan yang “berpanjangan”.

Commisso membeli Fiorentina pada 2019 dan memainkan peranan aktif dalam urusan kelab, termasuk melabur dalam pembinaan pusat latihan baharu bernilai €120 juta (AS$139 juta) serta berusaha mengembalikan kegemilangan kelab itu seperti era 1950-an dan 1960-an, ketika Fiorentina memenangi dua kejuaraan liga Itali dan dua trofi Eropah.

Di bawah kepimpinannya, kelab yang berpangkalan di Florence dan bakal menyambut ulang tahun ke-100 musim hadapan itu mara ke tiga perlawanan akhir Piala Itali 2023 serta Liga Persidangan UEFA pada 2023 dan 2024.

Fiorentina, yang menamatkan saingan di tempat keenam Serie A musim lalu, kini melalui musim yang bergelora dan berada di kedudukan ke-18 liga.-AFP

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan