Tiga kru Indonesia hilang di Selat Hormuz

Selat Hormuz. /Foto AFP

JAKARTA, 8 Mac – Tiga daripada empat kru warga Indonesia di atas kapal tunda yang berdaftar di Emiriah Arab Bersatu (UAE) hilang selepas kapal itu terbakar dan karam di Selat Hormuz.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seorang kru Indonesia menerima rawatan akibat kecederaan melecur di hospital Khasab, Oman.
  • Kapal tunda membawa tujuh kru termasuk warga India dan Filipina; empat kru terselamat.
  • Misi diplomatik Indonesia di UAE dan Oman sedang berkoordinasi dengan pihak berkuasa untuk mengesan kru yang hilang.

Kementerian Luar Indonesia dalam satu kenyataan berkata, mereka berada di kapal tunda Musaffah 2 yang terbakar dan meletup sebelum karam di perairan antara UAE dan Oman kira-kira pukul 2 pagi waktu tempatan.

“Seorang kru warga Indonesia sedang menerima rawatan akibat kecederaan melecur di sebuah hospital di Khasab, Oman, manakala tiga lagi warga Indonesia masih dikesan oleh pihak berkuasa tempatan,” kata kenyataan itu.

Kapal tunda berkenaan mempunyai tujuh kru termasuk warga India dan Filipina manakala empat daripada kru terbabit terselamat dalam kejadian itu.

Kementerian itu juga memaklumkan, seorang lagi warga Indonesia yang berada di tempat kejadian tetapi di atas kapal yang berbeza dilaporkan selamat.

Misi diplomatik Indonesia di UAE dan Oman sedang berkoordinasi dengan pihak berkuasa tempatan serta pihak berkaitan untuk mengesan warga Indonesia yang hilang.

Selat Hormuz, yang terletak di antara Iran dan Oman, merupakan antara laluan perkapalan minyak paling penting di dunia, dengan kira-kira satu perlima daripada penggunaan minyak global melalui laluan sempit itu setiap hari. – BERNAMA