
TEHRAN, 6 April – Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei berkata Tehran telah merangka pendirian serta tuntutan sebagai maklum balas terhadap cadangan gencatan senjata yang disalurkan melalui pihak perantara.
- Iran menolak tekanan membuka semula Selat Hormuz segera walaupun diugut tindakan besar oleh Amerika Syarikat.
- Tehran menutup Selat Hormuz sebagai tindak balas kepada serangan Amerika Syarikat dan Israel, mengancam kira-kira satu perlima bekalan tenaga dunia.
- Tehran menolak pelan 15 perkara melalui perantara kerana terlalu menuntut, tidak munasabah dan tidak logik.
Baghaei menegaskan rundingan “sama sekali tidak melibatkan ultimatum, jenayah atau ancaman untuk melakukan jenayah perang.”
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sebelum ini mengancam untuk mencetuskan kemusnahan besar ke atas Tehran sekiranya tiada perjanjian dicapai menjelang Selasa bagi membolehkan laluan penting bekalan tenaga global, Selat Hormuz, dibuka semula.
Menjelang tarikh akhir yang ditetapkan, Amerika Syarikat dan Iran pada Isnin dilaporkan sedang menilai rangka kerja pelan untuk menamatkan konflik yang telah berlarutan selama lima minggu, walaupun Tehran menolak tekanan untuk membuka semula Selat Hormuz dengan segera.
Perkara itu merupakan tindak balas Iran terhadap serangan dilakukan Amerika Syarikat dan Israel dengan menutup laluan Selat Hormuz — yang menjadi saluran kira-kira satu perlima bekalan minyak dan gas asli dunia.
Iran turut melancarkan serangan ke atas Israel, pangkalan tentera Amerika Syarikat dan infrastruktur tenaga di rantau Teluk selain tidak akan berkompromi dalam menyuarakan tuntutan yang dianggap sah.
“Berdasarkan kepentingan dan pertimbangan kami sendiri, kami sentiasa menetapkan sepenuhnya tuntutan yang kami ada dan masih ada. Kami tidak malu untuk menyuarakan tuntutan yang sah dan munasabah.
“Fakta bahawa Iran menyatakan pandangannya secara jelas dan berani sebagai respons terhadap sesuatu cadangan tidak boleh ditafsirkan sebagai tanda mengalah kepada musuh,” katanya.
Beliau turut menegaskan pengalaman lalu dalam rundingan dengan Amerika Syarikat menjadikan Iran lebih berhati-hati.
“Rundingan sama sekali tidak melibatkan ultimatum, jenayah atau ancaman jenayah perang. Iran dan rakyatnya mempunyai pengalaman yang sangat pahit dalam rundingan dengan Amerika Syarikat, dan pengalaman itu bukan sesuatu yang boleh diabaikan begitu sahaja,” katanya.
Beberapa hari lalu cadangan melalui perantara — yang dikenali sebagai pelan 15 perkara Amerika — telah dikemukakan menerusi Pakistan dan beberapa negara sahabat lain.
“Ketika itu kami telah menyatakan bahawa cadangan tersebut terlalu menuntut serta tidak munasabah dan tidak logik,” katanya.- REUTERS