Tangki simpanan petrol utama Libya musnah dalam kebakaran

Tangki simpanan minyak milik Brega Oil Company yang terbakar dalam serangan dron oleh kumpulan tidak dikenali – Foto Reuters

TRIPOLI, 11 Ogos – Sebuah tangki simpanan petrol utama di Zawiya, Libya terbakar dan runtuh pada Isnin selepas didakwa menjadi sasaran serangan oleh pihak tidak dikenali.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tangki tersebut mengandungi kira-kira 4.5 juta liter petrol.
  • Pasukan bomba giat mengawal api dan menjalankan operasi penyejukan tangki bersebelahan untuk mengelakkan penyebaran.
  • NOC mengecam beberapa serangan serupa, termasuk dua serangan dron terhadap tangki nafta dan loji penyahgaraman air.

Perbadanan Minyak Nasional (NOC) memaklumkan, tangki berkenaan mengandungi kira-kira 4.5 juta liter petrol.

Ia terletak di loji penapisan minyak kedua terbesar di Libya, yang mempunyai kapasiti penapisan sebanyak 120,000 tong sehari.

“Tangki bernombor 402-T milik Brega Oil Company yang digunakan untuk menyimpan petrol telah menjadi sasaran, menyebabkan kebakaran besar sebelum tangki berkenaan runtuh sepenuhnya,” menurut NOC dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu turut menyebut, pasukan bomba sedang giat mengawal api, sambil menambah operasi penyejukan sedang dijalankan terhadap tangki-tangki bersebelahan bagi mengelakkan api daripada merebak.

NOC turut mengecam beberapa serangan serupa yang berlaku di Zawiya sejak beberapa hari lalu, termasuk dua serangan dron terhadap tangki simpanan nafta dan sebuah loji penyahgaraman air pada hujung minggu.

Bagaimanapun, masih belum dapat dipastikan sama ada serangan itu mengakibatkan sebarang kematian atau kecederaan.

NOC mengisytiharkan darurat dan menggesa siasatan dijalankan.

Libya mempunyai rizab minyak paling banyak di Afrika, namun negara itu terus berpecah sejak tercetusnya perang susulan penggulingan bekas pemimpin, Muammar Gaddafi pada 2011.

Ketika ini, kerajaan terbahagi dua iaitu pentadbiran diiktiraf Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang dipimpin Perdana Menteri, Abdulhamid Dbeibah di Tripoli dan pentadbiran di bahagian timur yang disokong komander tentera, Khalifa Haftar.

Dalam satu kenyataan berasingan, kerajaan yang berpangkalan di Tripoli memaklumkan Dbeibah mengadakan pertemuan dengan beberapa pegawai kanan pada awal Isnin, termasuk Menteri Dalam Negeri serta ketua beberapa kumpulan bersenjata di ibu negara, bagi membincangkan perkembangan keselamatan terkini.

Dbeibah menegaskan keperluan untuk bertindak tegas terhadap sebarang pelanggaran atau tindakan yang mengancam keselamatan atau menjejaskan kemudahan dan infrastruktur penting, menurut kenyataan itu. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.