Syria musnahkan senjata kimia era Bashar al-Assad

Foto faiL BERNAMA

NEW YORK, 4 September – Syria mula memusnahkan sisa program senjata kimia ketika era bekas Presiden Bashar al-Assad yang ditemui pada Mei sekali gus menjadi operasi pertamanya dalam tempoh sedekad.

RINGKASAN BERITA AI
  • OPCW mengesahkan pemusnahan senjata kimia di Syria buat kali pertama sejak 2014.
  • Sekretariat Teknikal OPCW memeriksa Syria pada Ogos dan mengesahkan pemusnahan kategori tiga selaras Perkara IV.
  • OPCW sahkan senarai sepadan dengan pengisytiharan Syria dan pemusnahan kekal 42 bom udara.
  • Duta Syria Ibrahim Olabi kata operasi melindungi rakyat dan rantau, serta kritik serangan Israel menjejaskan keselamatan pasukan.

Wakil Tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Hal Ehwal Pelucutan Senjata, Izumi Nakamitsu berkata buat pertama kali sejak 2014, Pertubuhan bagi Larangan Senjata Kimia (OPCW) mengesahkan pemusnahan senjata kimia di Syria.

“Pasukan Sekretariat Teknikal OPCW telah membuat pemeriksaan di Syria pada Ogos lalu bagi mengesahkan pemusnahan senjata kimia kategori tiga selaras dengan Perkara IV.

“OPCW mengesahkan bahawa senarai sepadan dengan pengisytiharan terkini oleh Republik Arab Syria serta mengesahkan pemusnahan 42 bom udara secara kekal,” katanya.

Pada Mei lalu, media melaporkan pendedahan kepimpinan baharu kerajaan Syria yang menemukan sisa program senjata kimia milik pemerintahan Bashad al-Assad termasuk bahan mentah dan peluru, sepadan dengan senjata yang digunakan dalam serangan gas maut ketika perang saudara.

Syria juga mengisytiharkan dua kemudahan penyimpanan senjata kimia yang menempatkan bahan dan peralatan berkenaan.

Sementara itu, Duta Syria ke PBB, Ibrahim Olabi berkata usaha itu penting bagi menjamin keselamatan di rantau berkenaan.

“Kami berusaha melindungi rakyat Syria supaya senjata-senjata ini tidak jatuh ke tangan yang salah.

“Dengan operasi pemusnahan senjata kimia, kami turut melindungi dunia dan rantau ini,” ujarnya.

Selain itu, Ibrahim turut mengkritik serangan berterusan Israel menjejaskan operasi pencarian dan pemusnahan sisa senjata kimia di Syria sekali gus mendedahkan pasukan terlibat kepada risiko keselamatan.-REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.