
COLOMBO, 1 Julai – Kerajaan Sri Lanka menamatkan darurat yang diisytiharkan selepas negara itu dilanda Taufan Ditwah yang meragut 643 nyawa, tahun lepas.
- Kuasa darurat membolehkan anggota tentera dikerah bagi operasi mencari dan menyelamat, pembersihan lebuh raya serta pemulihan prasarana.
- Blok pembangkang menuduh kerajaan menggunakan undang-undang darurat untuk mengekang perbezaan pendapat politik, dakwaan yang dinafikan kerajaan.
- Perlembagaan membenarkan presiden mengisytiharkan darurat sebulan sekali dan sambungan hanya melalui kelulusan Parlimen.
Kuasa darurat yang membolehkan anggota tentera dikerah bagi melaksanakan operasi bantuan telah dilanjutkan setiap bulan sejak taufan itu melanda pada November 2025.
“Berkuat kuasa serta-merta, darurat ditarik balik dan situasi kembali seperti biasa,” kata Menteri Media, Nalinda Jayatissa kepada media.
Presiden Anura Kumara Dissanayake mengisytiharkan darurat tidak lama selepas taufan Ditwah yang membawa hujan lebat dan angin kencang membadai seluruh negara itu menyebabkan kemusnahan infrastruktur bernilai AS$4.1 billion.
Pasukan keselamatan dikerahkan ke seluruh negara bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat, selain membersihkan lebuh raya dan landasan keretapi serta memulihkan keadaan kepada tahap yang lebih normal.
Bagaimanapun, blok pembangkang utama menuduh kerajaan menggunakan undang-undang darurat untuk mengekang perbezaan pendapat politik, satu dakwaan yang dinafikan kerajaan.
Undang-undang berkenaan turut membolehkan kerajaan mengambil alih hartanah yang musnah bagi mengelakkan kejadian rompakan dan pencerobohan.
Mengikut Perlembagaan, presiden boleh mengisytiharkan darurat bagi tempoh sebulan pada satu-satu masa, namun ia boleh dilanjutkan dengan kelulusan Parlimen.
Taufan itu yang disifatkan sebagai bencana alam paling buruk melanda pulau berkenaan dalam tempoh dua dekad berlaku ketika Sri Lanka sedang bangkit daripada krisis ekonomi paling buruk yang dihadapi pada 2022.
Sejak itu, Colombo memperoleh pakej pinjaman berjumlah AS$2.9 bilion daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi membantu menstabilkan ekonomi.
Kadar inflasi negara itu turun kepada 6.8 peratus bulan lalu berbanding 69.8 peratus pada September 2022. – AFP