
KYIV, 20 Januari – Serangan udara Rusia yang dilancarkan ke atas ibu negara Ukraine pada isnin menyebabkan ribuan bangunan kediaman terputus bekalan pemanasan ketika suhu mencecah 14 darjah Celsius, kata Datuk Bandar Kyiv, Vitali Klitschko.
- Serangan udara Rusia menyebabkan 5,635 bangunan kediaman terputus bekalan pemanasan di Kyiv.
- Gangguan turut menjejaskan bekalan air dan elektrik, dengan usaha pemulihan sedang dijalankan.
- Serangan sasar sistem tenaga Ukraine untuk melemahkan semangat rakyat dan daya tahan negara.
Menurut beliau, sebanyak 5,635 bangunan kediaman kini tidak mempunyai pemanasan selepas serangan berkenaan, manakala sebahagian besar bandar itu turut mengalami gangguan bekalan air.
“Selepas serangan ini, 5,635 bangunan kediaman terputus pemanasan,” katanya menerusi Telegram.
Klitschko berkata seorang wanita cedera dan telah dimasukkan ke hospital, manakala beberapa bangunan termasuk sebuah sekolah rendah mengalami kerosakan akibat serangan tersebut.
Serangan terbaharu itu berlaku kira-kira 10 hari selepas Moscow melancarkan serangan terburuk ke atas grid tenaga Kyiv sejak pencerobohan ke atas Ukraine bermula empat tahun lalu.

Dalam serangan pada 9 Januari lepas, kemudahan tenaga menjadi sasaran serangan menyebabkan separuh bandar terputus bekalan pemanasan dan menyebabkan penduduk bergelap tanpa bekalan elektrik selama beberapa hari ketika suhu beku.
Terdahulu, Rusia melancarkan drone tempur jarak jauh, sebelum melancarkan peluru berpandu kruis ke arah bandar Kyiv dan kawasan sekitarnya.
Beberapa letupan kuat dilaporkan kedengaran di pusat bandar, menurut wartawan AFP di lokasi.
“Perkhidmatan perbandaran dan tenaga sedang berusaha memulihkan bekalan pemanasan, air dan elektrik ke rumah-rumah penduduk,” kata Klitschko.
Rusia terus menyasarkan sistem tenaga Ukraine sejak permulaan pencerobohan, yang menurut Kyiv bertujuan melemahkan semangat rakyat dan mematahkan daya tahan negara itu. – AFP