Serangan Rusia korbankan 12 orang di Ukraine

Antara korban yang ditemui bawah runtuhan sebuah blok kediaman lima tingkat yang terkena peluru berpandu Rusia di Kharkiv pada 7 Mac lepas/AFP

KYIV, 8 Mac- Serangan peluru berpandu dan dron Rusia ke seluruh Ukraine dari Jumaat malam ke Sabtu mengorbankan 12 orang dan mencederakan lebih 12 yang lain termasuk kanak-kanak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Zelensky berkata Rusia melancarkan 29 peluru berpandu dan 480 dron mensasarkan infrastruktur tenaga dan kereta api.
  • Sebuah blok apartmen lima tingkat di Kharkiv musnah, ramai terbunuh termasuk kanak-kanak; pasukan penyelamat masih memeriksa runtuhan.
  • Zelensky menegaskan ancaman terhadap orang awam dan infrastruktur, menyeru sekutu meneruskan bantuan ketenteraan.
  • Ukraine menghadapi kekurangan peluru berpandu PAC-3 Amerika Syarikat, menambah kerentanan terhadap serangan udara Rusia.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata Rusia melancarkan 29 peluru berpandu dan 480 dron menyasarkan infrastruktur tenaga dan keretapi.

Sebuah blok apartmen lima tingkat di Kharkiv musnah meragut 10 nyawa termasuk seorang gadis berusia 13 tahun dan seorang budak lelaki 9 tahun.

Usaha menyelamat dilapor masih dijalankan bagi mencari mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan.

Di kawasan lain, seorang maut di Dnipropetrovsk, tiga cedera di Kyiv, manakala seorang lelaki terbunuh di Sumy.

Sementara itu, di wilayah Kherson yang dikuasai Rusia, seorang maut manakala empat lagi cedera akibat serangan dron Ukraine.

Zelensky menegaskan bahawa serangan itu menunjukkan Ukraine masih berdepan ancaman terhadap orang awam dan infrastruktur dan beliau menyeru sekutu untuk meneruskan bantuan ketenteraan.

Ukraine juga menghadapi kekurangan peluru berpandu PAC‑3 buatan Amerika Syarikat, sekali gus menambah kerentanan terhadap serangan udara Rusia.

Dalam pada itu, tentera Rusia mendakwa mereka menumpukan serangan ke atas sasaran ketenteraan dan menafikan menyasarkan orang awam, sambil memaklumkan pihaknya berjaya memintas lebih 120 dron Ukraine semalaman. -AFP