Serangan geng: Guatemala tingkat rondaan polis, tentera

Askar Guatemala meronda jalan di kawasan Gallito susulan pengisytiharan perintah darurat di Kota Guatemala pada 22 Januari 2026/Foto AFP

GUATEMALA CITY, 25 Januari – Kerajaan Guatemala meningkatkan rondaan polis dan tentera di ibu negara selepas serangan geng terancang yang mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan anggota polis, sekali gus memaksa perintah darurat dilaksanakan di seluruh negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peningkatan rondaan polis dan tentera di Kota Guatemala selepas gelombang serangan terancang geng yang membunuh anggota polis.
  • Sekatan jalan raya, pemeriksaan kenderaan dan penggunaan unit K9 serta unit berperisai untuk kawal keselamatan.
  • Perintah darurat 30 hari diisytiharkan selepas rusuhan penjara dan penculikan pengawal oleh banduan berkaitan Barrio 18.

Pasukan keselamatan pada Jumaat malam dan Sabtu mengadakan sekatan jalan raya di beberapa lokasi utama di Kota Guatemala, dengan kenderaan dan motosikal diperiksa secara menyeluruh.

Anggota tentera turut dibantu unit anjing pengesan (K9) bagi memeriksa kenderaan, manakala unit berperisai dikerahkan untuk meronda kawasan kejiranan dan jalan-jalan utama.

Presiden Guatemala, Bernardo Arevalo minggu lalu mengisytiharkan perintah darurat selama 30 hari di seluruh negara selepas pasukan keselamatan berjaya menyelamatkan puluhan pengawal penjara yang dijadikan tebusan oleh banduan, sekali gus menamatkan keganasan yang tercetus susulan rusuhan penjara.

Krisis keselamatan itu bermula hujung minggu lalu apabila banduan yang mempunyai kaitan dengan kumpulan geng Barrio 18 menahan 46 pengawal di tiga buah penjara, dengan tuntutan diberikan keistimewaan lebih besar.

Keadaan menjadi semakin tegang selepas pihak berkuasa mengambil alih semula sebuah penjara yang menempatkan ketua geng berkenaan, Aldo “El Lobo” Duppie, sebelum beberapa serangan terhadap polis dilancarkan di sekitar Kota Guatemala.