
TEHRAN, 1 Februari – Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, memberi amaran sebarang serangan oleh Amerika Syarikat terhadap Iran akan mencetuskan konflik di peringkat serantau, lapor media kerajaan pada Ahad.
- Khamenei memberi amaran serangan AS terhadap Iran akan mencetuskan konflik di peringkat serantau.
- Iran menegaskan tidak akan memulakan serangan tetapi akan memberi tindak balas keras jika diserang.
- Tehran sedia berunding secara diplomatik selagi rundingan tidak menjejaskan keupayaan pertahanan negara.
Kenyataan itu dibuat susulan ketegangan yang semakin memuncak antara Washington dan Tehran, dengan Amerika Syarikat dilaporkan meningkatkan kehadiran tenteranya di Timur Tengah selepas Presiden Donald Trump berulang kali mengancam untuk campur tangan sekiranya Iran enggan bersetuju dengan perjanjian nuklear atau gagal menghentikan pembunuhan penunjuk perasaan.
“(Trump) sering berkata beliau membawa kapal-kapal perang… Bangsa Iran tidak akan gentar dengan perkara seperti ini dan rakyat Iran tidak akan terpengaruh dengan ugutan sedemikian,” kata Khamenei.
Beliau menegaskan Iran tidak berniat untuk memulakan sebarang serangan terhadap mana-mana negara, namun akan bertindak tegas sekiranya diserang.
“Kami bukan pihak yang memulakan dan tidak mahu menyerang mana-mana negara, tetapi bangsa Iran akan memberikan tindak balas keras terhadap sesiapa sahaja yang menyerang dan mengganggu mereka,” katanya lagi.
Dalam pada itu, penyelesaian diplomatik masih menjadi pilihan apabila Tehran menyatakan kesediaan untuk mengadakan rundingan yang “adil”, selagi ia tidak menjejaskan keupayaan pertahanan negara itu.
Pada masa ini, Tentera Laut Amerika Syarikat dilaporkan mempunyai enam kapal pemusnah, sebuah kapal induk dan tiga kapal tempur pesisir yang ditempatkan di rantau berkenaan.-REUTERS