
DAMSYIK, 20 Januari – Rundingan antara Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa, dan ketua pasukan Syrian Democratic Forces (SDF) Mazloum Abdi menemui kegagalan menurut pegawai Kurdi.
- Rundingan antara pemimpin Syria dan ketua SDF gagal kerana tuntutan kerajaan untuk penyerahan tanpa syarat.
- Kerajaan Syria enggan bincang desentralisasi atau sistem federal, menolak integrasi pentadbiran Kurdi.
- Kegagalan itu menggugat masa depan autonomi Kurdi dan meningkatkan ketegangan dengan kerajaan pusat.
Rundingan itu bertujuan membincangkan perjanjian gencatan senjata termasuk integrasi pentadbiran Kurdi ke dalam kerajaan pusat Syria.
Pegawai Kurdi, Abdel Karim Omar, berkata kegagalan rundingan berpunca daripada sikap kerajaan Syria yang menuntut penyerahan SDF tanpa syarat.
Beliau bagaimanapun menggesa komuniti antarabangsa mengambil tindakan tegas bagi menyelamatkan situasi.
Kurdi Syria telah menguasai kawasan utara Syria sejak tercetusnya perang saudara menentang Bashar Al-Assad.
Namun, Sharaa, yang disokong AS dan Turki, enggan membincangkan desentralisasi atau sistem federal.
Tentera Syria kini dikerahkan ke beberapa lokasi, termasuk Hasakeh, pusat utama Kurdi yang turut menempatkan penduduk Arab.
Sebelum ini, Sharaa mengeluarkan dekri untuk memberi pengiktirafan rasmi kepada Kurdi.
Namun kumpulan Kurdi menyifatkannya tidak menepati jangkaan.
Salah seorang aktivis di Qamishli, Hevi Ahmed, berkata rundingan itu adalah “kekecewaan selepas bertahun-tahun dan harapan agar perlembagaan Syria mampu memberi masa depan lebih baik kepada Kurdi”.
Kegagalan rundingan ini menimbulkan keraguan terhadap masa depan autonomi Kurdi di utara Syria dan menandakan bahawa ketegangan dengan kerajaan pusat masih jauh daripada penyelesaian. – AFP