Ribut musim sejuk di AS, 230,000 terputus bekalan elektrik

Keadaan ribut salji yang melanda Tennessee di Amerika Syarikat/foto REUTERS

WASHINGTON, 25 Januari – Kira -kira 230,000 pengguna terputus bekalan elektrik susulan ribut musim sejuk melanda Amerika Syarikat (AS) memaksa ribuan penerbangan dibatalkan, sekali gus mengganggu operasi pengangkutan serta kehidupan harian penduduk di beberapa negeri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ribut musim sejuk ganggu pengangkutan: beribu penerbangan dibatalkan dan operasi pengangkutan terganggu di beberapa negeri.
  • Ribut menyebabkan gangguan bekalan elektrik meluas, puluhan ribu terjejas terutama di Louisiana, Mississippi, Texas, Tennessee dan New Mexico.
  • Kerajaan isytihar darurat dan keluarkan perintah kecemasan untuk membolehkan sumber tenaga kecemasan dan usaha pemulihan dipercepat.

Menurut laporan Reuters, lebih 4,000 penerbangan dibatalkan pada Sabtu, manakala sekitar 9,400 penerbangan lagi dijangka dibatalkan pada Ahad ketika ribut itu membawa salji tebal, hujan ais, hujan beku serta suhu sejuk yang berbahaya kepada dua pertiga wilayah timur negara itu.

Presiden AS, Donald Trump, menyifatkan ribut berkenaan sebagai “bersejarah” dan telah meluluskan pengisytiharan kecemasan persekutuan di sekurang-kurangnya 12 negeri, termasuk South Carolina, Virginia, Tennessee, Georgia, North Carolina, Maryland, Arkansas, Kentucky, Louisiana, Mississippi, Indiana dan West Virginia.

Menerusi hantaran di platform Truth Social, Trump menasihatkan penduduk di kawasan terjejas supaya terus berwaspada dan mengutamakan keselamatan diri sepanjang tempoh ribut.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS memaklumkan, sebanyak 17 negeri serta Daerah Columbia telah mengisytiharkan darurat cuaca.

Setiausahanya, Kristi Noem, berkata puluhan ribu penduduk di negeri-negeri selatan terkesan akibat gangguan bekalan elektrik, namun usaha pemulihan sedang giat dijalankan oleh pasukan utiliti.

Setakat awal pagi Ahad waktu tempatan, laman PowerOutage.com melaporkan kira-kira 230,000 pengguna masih tidak menerima bekalan elektrik, dengan kebanyakan gangguan dilaporkan di Louisiana, Mississippi, Texas, Tennessee dan New Mexico.

Susulan keadaan itu, Jabatan Tenaga AS mengeluarkan perintah kecemasan bagi membolehkan pengendali tenaga di Texas mengaktifkan sumber penjanaan kecemasan bagi mengurangkan risiko gangguan bekalan yang lebih meluas. Perintah sama turut dikeluarkan kepada pengendali grid PJM Interconnection di wilayah Mid-Atlantic.

Sementara itu, Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan AS memberi amaran ribut berkenaan berpotensi membawa kesan “melumpuhkan hingga bencana”, khususnya di kawasan Tenggara negara itu, dengan suhu sejuk ekstrem dan angin kencang dijangka melanda kawasan Great Plains menjelang Isnin. – REUTERS