Ribuan wanita berarak tuntut keadilan mangsa keganasan gender

Foto REUTERS

MEXICO CITY, 9 Mac – Ribuan wanita di Mexico City dan Sao Paulo berarak bersempena Hari Wanita Antarabangsa, dengan mengadakan peringatan serta membawa sepanduk, bagi menuntut keadilan untuk mangsa keganasan berasaskan gender.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tindakan simbolik seperti rama-rama berlabel nama dan pasang kasut di jalan memperingati mangsa pembunuhan dan kehilangan wanita.
  • Penunjuk perasaan mengecam kegagalan pihak berkuasa menyediakan perlindungan mencukupi kepada wanita.
  • Statistik menunjukkan 1,568 femisid di Brazil; Sao Paulo meningkat; Mexico catat 5,020 pembunuhan, hanya 597 diklasifikasikan sebagai femisid.

Para peserta juga mengecam dan menyifatkan pihak berkuasa sebagai gagal menyediakan perlindungan mencukupi kepada wanita.

Di Mexico City, ahli keluarga peserta menulis serta menampal nama wanita yang dibunuh atau hilang pada replika berbentuk rama rama sebagai simbol penghormatan.

Menurut seorang peserta, Abril Diaz, tindakan tersebut bertujuan memperingati wanita yang menjadi mangsa keganasan, kehilangan secara paksa serta pembunuhan wanita atau femisid.

Di Sao Paulo, para penunjuk perasaan mempamerkan beberapa pasang kasut di atas jalan turut dijadikan simbol bagi memperingati mangsa pembunuhan wanita.

Berdasarkan data Forum Keselamatan Awam, Brazil merekodkan sebanyak 1,568 kes femisid pada tahun 2025.

Di negeri Sao Paulo sahaja, jumlah kes meningkat daripada 136 pada tahun 2021 kepada 270 kes pada tahun 2025.

Manakala di Mexico, antara Januari hingga Oktober 2025, sebanyak 5,020 wanita dilaporkan terbunuh, namun hanya 597 kes diklasifikasikan secara rasmi sebagai femisid.-REUTERS