Putin usaha redakan ketegangan di Asia Barat – Kremlin

Presiden Rusia Vladimir Putin akan berusaha membantu meredakan ketegangan di Asia Barat./REUTERS

MOSCOW, 3 Mac – Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov memaklumkan bahawa Presiden Rusia Vladimir Putin sedang melakukan segala usaha untuk membantu meredakan ketegangan di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Putin berusaha mengurangkan ketegangan di Asia Barat melalui inisiatif diplomatik Rusia.
  • Rusia terbuka untuk dialog dengan Amerika Syarikat dan Israel mengenai situasi serantau.
  • Rusia akan gunakan hubungannya dengan Iran untuk membantu mencegah serangan di rantau itu.

“Putin sedang melakukan segala usaha untuk sekurang-kurangnya mengurangkan ketegangan di Asia Barat,” kata Peskov.

Dalam pada itu, Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov berkata Rusia terbuka untuk dialog dengan Amerika Syarikat dan Israel mengenai situasi di Asia Barat dan pihak Rusia tidak pernah menghentikan dialog itu.

“Dalam semua keadaan, kami terbuka kepada dialog dengan mereka (AS) dan dengan Israel; kami tidak pernah menghentikan dialog ini,” kata Lavrov.

Beliau percaya tindakan AS tidak akan terhad kepada Venezuela, Cuba dan Iran sahaja.

“Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, dalam jawapannya kepada soalan wartawan, baru‑baru ini menyatakan yang Amerika Syarikat akan mentadbir Iran dengan cara yang sama seperti yang diumumkan mereka untuk mentadbir Venezuela. Kini skim yang serupa sedang dicuba untuk Cuba dan, mungkin, ini belum berakhir,” jelasnya.

Dalam masa sama, Rusia akan cuba menggunakan hubungannya dengan Iran untuk mencegah serangan ke atas negara-negara di Asia Barat. – BERNAMA