
WASHINGTON, 15 Jan — Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengancam untuk menguatkuasakan Akta Pemberontakan (Insurrection Act) bagi membolehkan pasukan tentera dikerahkan ke negeri Minnesota susulan protes berterusan terhadap peningkatan operasi ejen imigresen di bandar Minneapolis.
- Trump mengancam guna Akta Pemberontakan untuk menghantar tentera ke Minnesota jika pihak berkuasa negeri gagal kawal protes terhadap ejen imigresen.
- Ancaman dibuat kerana beberapa serangan terhadap pegawai ICE dan kegagalan pemimpin negeri hentikan keganasan terhadap mereka.
- Ketegangan meningkat selepas penembakan oleh pegawai imigresen yang mencetuskan protes meluas, termasuk insiden yang mengorbankan seorang wanita warga Amerika.
Trump berkata beliau akan mengambil tindakan itu sekiranya pemimpin Minnesota gagal mengambil tindakan sepatutnya.
“Jika ahli politik korup di Minnesota tidak mematuhi undang-undang dan menghentikan penghasut serta pemberontak daripada menyerang pegawai ICE yang hanya menjalankan tugas mereka, saya akan melaksanakan akta berkenaan,” tulis Trump menerusi media sosial.
Ancaman itu dibuat beberapa jam selepas seorang pegawai imigresen menembak seorang lelaki warga Venezuela yang didakwa cuba melarikan diri ketika kenderaannya ditahan di Minneapolis.
Ketegangan antara penduduk dan pegawai persekutuan semakin memuncak selepas seorang ejen ICE menembak mati seorang warganegara Amerika, Renee Good ketika berada dalam sebuah kenderaan di Minneapolis.
Protes susulan insiden itu kini dilaporkan merebak ke beberapa bandar lain di seluruh negara. – REUTERS