
CHICAGO, 5 April — Ratusan pemandu di Chicago sanggup beratur berjam-jam bagi mendapatkan petrol percuma susulan lonjakan harga bahan api yang semakin membebankan.
- Inisiatif Willie Wilson menawarkan petrol percuma bernilai AS$35 kepada individu, berdasarkan siapa cepat dia dapat.
- Penduduk kecewa, menyalahkan pentadbiran Donald Trump atas kenaikan harga minyak yang membebankan.
- Program pemberian sering menyebabkan kesesakan lalu lintas, mencerminkan permintaan tinggi terhadap bantuan petrol.
- Kenaikan harga minyak global dikaitkan konflik AS, Israel dan Iran, menaikkan harga lebih 50 peratus dan menjejaskan domestik.
Inisiatif itu dianjurkan dermawan tempatan, Willie Wilson, yang menawarkan petrol percuma bernilai AS$35 (kira-kira RM165) kepada setiap individu bermula seawal pukul 7 pagi, berdasarkan konsep siapa cepat dia dapat.
Seorang penduduk, Rick Bartow berkata beliau terpaksa menunggu hampir satu setengah jam untuk mendapatkan petrol tersebut.
“Harga minyak sekarang sangat teruk. Kami lihat ada pemberian petrol percuma, jadi kami sanggup beratur walaupun lama,” katanya.
Seorang lagi penduduk yang hanya dikenali sebagai Tom turut meluahkan kekecewaan terhadap kenaikan harga bahan api, malah menyalahkan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
“Donald Trump sepatutnya menurunkan harga dan mengawal keadaan, tetapi sebaliknya harga semakin naik dan ini amat membebankan.
“Saya tak pasti bila harga akan turun, tapi saya harap ia akan turun dalam masa terdekat kerana keadaan ini benar-benar menekan kami,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Smith turut berkongsi sentimen sama dengan menyifatkan kenaikan harga sebagai sesuatu yang sukar ditanggung.
Program seumpama itu pernah dianjurkan sebelum ini dan sering menyebabkan kesesakan lalu lintas, sekali gus menggambarkan permintaan tinggi terhadap bantuan susulan peningkatan kos bahan api.
Kenaikan harga minyak global dikaitkan dengan konflik Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran yang kini memasuki bulan kedua, sekali gus mendorong harga minyak meningkat lebih 50 peratus dan memberi kesan kepada harga domestik.
Tinjauan Reuters/Ipsos pula mendapati hanya 36 peratus rakyat Amerika Syarikat berpuas hati dengan prestasi pentadbiran Trump.
Manakala 60 peratus tidak bersetuju dengan penglibatan negara itu dalam konflik berkenaan. – REUTERS