
WASHINGTON, 13 Mac -Sebuah pesawat pengisian bahan api milik Amerika Syarikat jenis KC-135 Stratotanker terhempas di barat Iraq.
- Kumpulan sekutu Iran mendakwa menembak jatuh pesawat menggunakan peluru berpandu, menyebabkan semua kru terbunuh.
- CENTCOM: satu pesawat terhempas manakala satu lagi mendarat selamat; menafikan punca akibat tembakan musuh atau rakan.
- CENTCOM keluarkan rakaman Operation Epic Fury, dakwa serang kapal tentera laut Iran berhampiran Selat Hormuz; tarikh dan sasaran tidak disahkan.
Pihak tentera Iran dalam kenyataan memaklumkan, sebuah kumpulan sekutu mereka di Iraq telah menembak jatuh pesawat tersebut menggunakan peluru berpandu, sekali gus mengorbankan semua kru di dalamnya.
Sementara itu, Komando Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) dalam satu kenyataan memaklumkan, salah satu pesawat terhempas di Iraq barat manakala pesawat kedua mendarat dengan selamat.
CENTCOM mendakwa kejadian itu tidak berpunca daripada tembakan musuh atau tembakan rakan sendiri.
Insiden itu menjadikan sekurang-kurangnya pesawat keempat tentera Amerika Syarikat yang hilang sepanjang konflik di Asia Barat, selepas tiga pesawat pejuang McDonnell Douglas F-15E Strike Eagle ditembak jatuh akibat tembakan rakan sendiri di Kuwait.
Dalam pada itu, CENTCOM mengeluarkan rakaman video yang menunjukkan kapal tentera laut Iran diserang berhampiran Selat Hormuz dalam operasi yang dinamakan ‘Operation Epic Fury’.
Menurut CENTCOM, operasi itu menyasarkan puluhan kapal termasuk 16 kapal pemasang periuk api.
Rakaman tersebut menunjukkan beberapa serangan yang didakwa menyasarkan aset Tentera Laut Iran di lokasi yang tidak didedahkan.
Bagaimanapun, tarikh, masa serta jenis kapal yang menjadi sasaran dalam rakaman tersebut tidak dapat disahkan secara bebas.- AFP