Pesawat JAL lakukan pendaratan cemas, tiada kecederaan

FOTO AFP

CHIBA, 29 Mei – Sebuah pesawat penumpang Japan Airlines (JAL) melakukan pendaratan cemas di lapangan terbang Narita berhampiran Tokyo pada Jumaat susulan masalah mekanikal, dengan tayar dipercayai pecah semasa berlepas, menurut kementerian pengangkutan, lapor Kyodo News.

RINGKASAN BERITA AI
  • Boeing 767 dengan 218 penumpang dan lapan kru terlibat dalam pendaratan cemas; tiada kecederaan dilaporkan.
  • Landasan A di Narita ditutup kira-kira dua jam selepas pendaratan untuk siasatan pihak berkuasa.
  • Serpihan kemudian ditemui di Landasan D Lapangan Terbang Haneda yang digunakan pesawat untuk berlepas.
  • Sebelum ini Isnin lalu, penerbangan Skymark juga melakukan pendaratan cemas akibat masalah tayar; satu tayar didapati pecah.

Pesawat Boeing 767 itu dalam penerbangan dari lapangan terbang Haneda di Tokyo ke lapangan terbang Kagoshima di barat daya Jepun dengan membawa 218 penumpang dan lapan kru kapal, menurut syarikat penerbangan itu. Tiada kecederaan dilaporkan.

Selepas pendaratan cemas kira-kira 11.55 pagi, Landasan A di lapangan terbang Narita ditutup selama kira-kira dua jam sementara pihak berkuasa menjalankan siasatan.

Menurut pejabat lapangan terbang Tokyo di bawah kementerian pengangkutan, serpihan kemudiannya ditemukan di Landasan D lapangan terbang Haneda yang digunakan pesawat itu untuk berlepas.

Landasan berkenaan ditutup kira-kira 10.30 pagi ketika pihak berkuasa meneliti sama ada serpihan itu berkaitan dengan insiden tersebut sebelum dibuka semula sekitar 1.45 tengah hari.

Pada Isnin, sebuah pesawat penumpang Skymark Airlines turut melakukan pendaratan cemas di lapangan terbang Haneda selepas mengesan masalah tayar, dengan satu daripada tayar Boeing 737 itu kemudian didapati pecah. -BERNAMA-KYODO

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.