Perjanjian damai AS-Iran berkuat kuasa serta-merta

Washington-Tehran akan mengadakan rundingan sehingga 60 hari

Islamabad, 18 Jun – Majlis pemeteraian perjanjian damai Amerika-Iran bakal berlangsung di Geneva, pada Jumaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • MoU 14 perkara bertujuan menamatkan perang Asia Barat; Iran buka semula Selat Hormuz; Amerika tarik balik sekatan laut serta-merta.
  • Presiden AS dan Iran menandatangani teks secara digital; Iran kurangkan pengayaan uranium sebagai balasan bantuan ekonomi besar.
  • MoU berkuatkuasa serta-merta; rundingan fokus isu nuklear dan pelonggaran sekatan; serangan Israel di Lubnan dianggap pelanggaran komitmen Washington.

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif ketika mengesahkan perkara itu menjelaskan, majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) 14 perkara antara Washington dan Tehran bertujuan menamatkan perang di Asia Barat dengan Iran membuka semula Selat Hormuz dan sekatan laut oleh Amerika terhadap pelabuhan-pelabuhan Iran ditamatkan ‘serta-merta’.

Perkara berkenaan dimuat naik menerusi hantaran di platform ‘X’ dengan menyatakan Pakistan menerusi sokongan Qatar, akan menjadi tuan rumah pada Jumaat ini dan memulakan rundingan di peringkat teknikal.

“Iran akan segera membuka semula Selat Hormuz dan Amerika akan menarik balik sekatan di laluan berkenaan.

“Di bawah perjanjian itu juga, Washington turut berjanji untuk segera menggugurkan sekatan minyak yang telah menjejaskan ekonomi Iran,”katanya.

Presiden Amerika Syarikat dan Presiden Iran telah menandatangani teks perjanjian pada Rabu secara digital bagi menamatkan perang di Asia Barat dengan Tehran bersetuju untuk pengurangan pengayaan uranium sebagai balasan kepada bantuan ekonomi berskala besar.

Trump telah menandatangani MoU pada majlis makan malam di Istana Versailles selepas Sidang Kemuncak G7 yang disaksikan Presiden Perancis, Emmanuel Macron.

Namun, Trump dengan angkuh mengugut sedia melancarkan serangan, sekiranya Tehran melanggar perjanjian berkenaan.

Sementara itu, agensi berita rasmi, IRNA melaporkan jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei berkata, dokumen berkenaan, “telah dimuktamadkan secara digital’, dan Mou telah berkuatkuasa serta-merta.

“Rundingan di bawah MoU itu akan memberi tumpuan secara eksklusif kepada isu nuklear serta pelonggaran sekatan.

“Kedua-dua pihak akan mengadakan rundingan sehingga 60 hari, dengan kemungkinan tempoh itu dilanjutkan, berikutan kerumitan isu.

“Perjanjian itu juga menamatkan konflik yang tercetus sejak 28 Februari lepas. Namun, sekiranya serangan Israel terhadap Lubnan berterusan, ianya dianggap pelanggaran komitmen Washington, di bawah MoU berkenaan,”katanya.

Harga minyak dunia jatuh sejak beberapa hari lepas berikutan keyakinan perjanjian damai yang berkekalan di Asia Barat, tetapi kembali meningkat pada Rabu.

Pengumuman berkenaan bagaimanapun tetap menyaksikan serangan Israel di Lubnan yang mengorbankan sekurang-kurangnya lima nyawa.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.