
ISTANBUL, 6 Mac – Perancis tidak akan menempatkan pesawat tentera Amerika Syarikat (AS) di pangkalannya di Asia Barat, menurut perintah ketenteraan negara itu pada Khamis, sekali gus menafikan laporan media sebelum ini.
- Kebenaran sementara diberikan untuk pesawat sokongan AS (bukan jet pejuang) ditempatkan di Pangkalan Udara Istres, tenggara Perancis.
- Kehadiran pesawat itu sebahagian daripada prosedur rutin di bawah rangka NATO.
- Perancis menuntut pesawat tidak menyertai operasi terhadap Iran; hanya untuk sokongan pertahanan rakan rantau dan jaminan dipatuhi.
“Maklumat mengenai kononnya aset AS ditempatkan di pangkalan kami di Asia Barat adalah tidak tepat,” kata jurucakap Ketua Staf Pertahanan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Bagaimanapun, pesawat tentera AS yang digunakan bagi menyokong operasi dan bukan jet pejuang, telah diberi kebenaran sementara untuk ditempatkan di Pangkalan Udara Istres di tenggara Perancis, menurut pihak tentera kepada Franceinfo.
Menurut Angkatan Tentera Perancis, kehadiran pesawat itu merupakan sebahagian daripada “prosedur rutin dalam kerangka NATO,”.
Berikutan ketegangan susulan operasi ketenteraan AS yang sedang dijalankan terhadap Iran, Perancis menuntut agar pesawat itu “tidak mengambil bahagian dalam apa jua bentuk” dalam operasi yang dijalankan Washington terhadap negara itu.
Sebaliknya, aset itu mesti digunakan “hanya untuk menyokong pertahanan rakan kami di rantau ini,” kata jurucakap itu, sambil menambah bahawa Paris telah memperoleh “jaminan penuh” bahawa syarat berkenaan akan dipatuhi.
Penjelasan itu dibuat selepas laporan sebelum ini mencadangkan bahawa pesawat AS mungkin ditempatkan di pangkalan Perancis di Asia Barat, maklumat yang disebarkan secara meluas oleh beberapa media sebelum dinafikan oleh tentera Perancis.- BERNAMA-ANADOLU