
WASHINGTON, 17 Februari – Pelakon legenda Hollywood dan pemenang Anugerah Akademi, Robert Duvall meninggal dunia pada usia 95 tahun.
- Robert Duvall, pelakon legenda Hollywood, meninggal dunia pada usia 95 tahun.
- Diiktiraf untuk peranan ikonik termasuk The Godfather, Apocalypse Now dan menang Oscar untuk Tender Mercies.
- Mempunyai kerjaya hampir 100 filem, tujuh pencalonan Anugerah Akademi, juga penulis dan pengarah filem.
Isterinya, Luciana Duvall memaklumkan, mendiang meninggal dunia dengan tenang pada Ahad dan menyifatkan suaminya sentiasa memberikan sepenuh jiwa kepada setiap watak yang dibawakan sepanjang kerjaya seni beliau.
Robert Duvall dikenang menerusi pelbagai peranan ikonik termasuk sebagai Tom Hagen dalam The Godfather serta watak utama dalam Tender Mercies yang menghadiahkan Oscar Pelakon Lelaki Terbaik pada 1983.
Beliau turut meninggalkan kesan besar dalam filem Apocalypse Now dan menerima tujuh pencalonan Anugerah Akademi sepanjang kerjaya yang merangkumi hampir 100 filem.
Dilahirkan di Maryland, Amerika Syarikat, Duvall pernah berkhidmat dalam tentera sebelum membina kerjaya lakonan di New York bersama rakan seperjuangan Dustin Hoffman dan Gene Hackman.
Robert Duvall turut menulis serta mengarah filem sendiri termasuk The Apostle, di samping memenangi anugerah Emmy menerusi beberapa produksi televisyen.-REUTERS