
NAIROBI, 19 Januari -Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa keganasan seksual digunakan secara meluas dan sistematik sebagai senjata perang dalam konflik bersenjata di Sudan.
- Keganasan seksual digunakan secara meluas dan sistematik sebagai senjata perang di Sudan.
- PBB mengesahkan ia merupakan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan berdasarkan keterangan mangsa.
- Ketua PBB menyeru tindakan segera untuk menghentikan konflik dan mencegah penderitaan berterusan.
Ketua Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia PBB, Volker Türk berkata, amalan itu merupakan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.
Jelas beliau, perkara tersebut disahkan berdasarkan maklumat serta keterangan mangsa yang ditemuinya sendiri.
Menurut Volker Türk, keganasan seksual tidak berlaku secara terpencil, sebaliknya menunjukkan corak yang meluas dan tersusun.
Ia sekali gus membuktikan kaedah itu digunakan sebagai taktik peperangan.
“Keganasan seksual digunakan sebagai senjata perang.
Kami semakin menerima petunjuk jelas bahawa ia dilakukan secara meluas dan sistematik,” tegasnya pada sidang media di Nairobi, Kenya.
Volker Türk menyatakannya selepas menamatkan lawatan selama lima hari ke Sudan, termasuk kunjungan ke kem pelarian Al-Afad yang menempatkan ribuan penduduk yang kehilangan tempat tinggal akibat perang.
Dalam lawatan tersebut, beliau turut bertemu wanita dan kanak-kanak perempuan yang terselamat daripada keganasan seksual, termasuk kes rogol berkumpulan ketika konflik di El-Fasher.
Volker Türk menyifatkan, trauma yang dialami mangsa sebagai tidak terungkap dengan kata-kata.
Malah, sebahagian mangsa menyaksikan ahli keluarga lelaki dibunuh di hadapan mereka sebelum diculik dan didera berhari-hari.
Justeru, beliau menggesa semua pihak berpengaruh supaya bertindak segera menghentikan konflik dan tidak terus berdiam diri.
“Ini adalah catatan kekejaman yang sedang berlaku di depan mata kita. Kita tidak boleh berpaling dan membiarkannya berulang.
Perang ini telah menolak Sudan ke jurang penderitaan yang sukar dibayangkan kerana kesannya melibatkan seluruh rakyat,” katanya.
Perang saudara Sudan yang tercetus pada April 2023 melibatkan pertempuran antara Pasukan Sokongan Pantas (RSF) dan Angkatan Tentera Sudan.
Ia mengakibatkan jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal serta puluhan ribu terkorban. -REUTERS