PBB beri penghormatan terakhir buat tiga anggota UNIFIL Indonesia yang terkorban

Tiga anggota UNIFIL Indonesia yang terkorban di Lubnan diberikan penghormatan terakhir dalam upacara penuh istiadat./REUTERS

BEIRUT, 3 April – Pasukan pengaman PBB dan pegawai Lubnan memberikan penghormatan terakhir kepada tiga anggota pengaman Indonesia (UNIFIL) yang terkorban di Lubnan dalam satu upacara penuh istiadat di Lapangan Terbang Antarabangsa Beirut-Rafic Hariri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Upacara penghormatan penuh istiadat diadakan sebelum jenazah ketiga anggota dihantar pulang ke Indonesia.
  • Suasana pilu apabila anggota UNIFIL mengusung keranda, foto mangsa dipamerkan bersebelahan bendera Lubnan dan PBB.
  • Ketua Misi UNIFIL, Mejar Jeneral Diodato Abagnara, menyifatkan kehilangan sebagai kehilangan saudara seperjuangan dan menyampaikan takziah.
  • Wakil Menteri Pertahanan Lubnan menegaskan serangan terhadap UNIFIL dianggap serangan langsung ke atas kedaulatan Lubnan.

Upacara penghormatan tersebut diadakan sebelum jenazah ketiga-tiga wira berkenaan dihantar pulang ke Indonesia.

Suasana pilu menyelubungi hangar lapangan terbang apabila anggota UNIFIL mengusung keranda Kapten Zulmi Aditya Iskandar, Sarjan 1 Muhammad Nur Ichwan, dan Prebet Kelas Pertama Farizal Rhomadhon, dengan foto mereka dipamerkan bersebelahan bendera Lubnan dan PBB.

Ketua Misi dan Komander Angkatan UNIFIL, Mejar Jeneral Diodato Abagnara dalam ucapannya berkata, pasukan itu bukan sahaja kehilangan anggota pengaman, malah kehilangan ‘saudara seperjuangan’.

Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, Angkatan Tentera Indonesia (TNI), dan seluruh anggota misi dari Indonesia.

Sementara itu, Brigedier Jeneral Firas Tarchichi yang mewakili Menteri Pertahanan dan Komander Tentera Lubnan menegaskan bahawa sebarang serangan terhadap UNIFIL dianggap sebagai serangan langsung ke atas keselamatan kedaulatan Lubnan. – REUTERS