
HONG KONG, 4 Ogos – Pasaran saham Asia kembali stabil pada Selasa selepas mengalami ketidaktentuan minggu lepas, yang dipacu oleh sektor teknologi.
Para pelabur memerhati prestasi kukuh Wall Street, manakala harga minyak meningkat sedikit selepas kejatuhan baru-baru ini berikutan kenyataan bercanggah antara Presiden Donald Trump dan Iran mengenai rundingan damai.
Indeks saham Korea Selatan (Kospi) bergerak tidak menentu dengan tumpuan kembali kepada syarikat cip seperti SK hynix dan Samsung, yang sebelum ini terjejas dalam jualan besar-besaran saham berkaitan kecerdasan buatan (AI).
Sentimen positif turut dipengaruhi prestasi pasaran Amerika Syarikat dengan Dow Jones mencatat paras tertinggi baharu.
Kenaikan besar saham Amazon yang melepasi nilai pasaran AS$3 trilion membantu mengurangkan kebimbangan pelabur mengenai perbelanjaan besar syarikat teknologi kepada pembangunan AI.
Beberapa pasaran Asia seperti Sydney, Singapura, Wellington, Taipei, Jakarta dan Manila meningkat, manakala Tokyo, Hong Kong dan Shanghai mencatat penurunan kecil.
Sesetengah penganalisis melihat prospek pasaran semakin baik kerana keuntungan syarikat masih menyokong pelaburan infrastruktur AI kekal kukuh di samping ekonomi Amerika Syarikat dilihat tidak mengalami kemerosotan mendadak.
Pelabur kini memberi perhatian kepada laporan pendapatan syarikat seperti SpaceX serta data pekerjaan utama Amerika Syarikat yang boleh mempengaruhi keputusan Rizab Persekutuan (Fed) mengenai kadar faedah.
Harga minyak meningkat kira-kira satu peratus selepas jatuh sekitar lima peratus sehari sebelumnya, didorong harapan perjanjian antara AS dan Iran mengenai Selat Hormuz.
Dalam pasaran mata wang, yen Jepun kembali melemah berbanding dolar AS selepas pengukuhan besar pada minggu lepas, susulan campur tangan bersama pihak berkuasa Jepun dan Amerika.
Yen sebelum ini mengukuh daripada paras terendah sekitar 163 yen setiap dolar kepada kira-kira 155 yen sebelum sebahagian keuntungan itu susut. – AFP